Lee Sang Bo Meninggal Mengejut, Punca Kematian Tidak Didedahkan

Pelakon Korea Selatan, Lee Sang Bo, dilaporkan ditemui meninggal dunia di kediamannya, menurut laporan Soompi.
Upacara pengebumian berlangsung semalam.
Pelakon itu memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2006 dan pernah membintangi pelbagai produksi seperti Miss Monte Cristo, Wicked Love dan The Era of Daughters-in-Law.
Menurut laporan The Chosun Ilbo, kerjayanya pernah terjejas susulan dakwaan penggunaan dadah pada tahun 2022 yang sebenarnya berpunca daripada ubat preskripsi. Namun, beliau berjaya membersihkan namanya selepas analisis oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan.
Dia juga berdepan kehilangan ahli keluarga secara berturut-turut serta berjuang dengan kemurungan.
Begitupun, Lee tetap meneruskan kerjayanya dan menandatangani kontrak eksklusif dengan Korea Management Group tahun lalu.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sang Bo menyatakan hasrat untuk memperbaiki lakonan sehingga dapat menebus insiden tersebut dan menunjukkannya kepada orang ramai.
Menurut laporan, punca kematian tidak didedahkan atas permintaan keluarga, manakala pihak polis kini sedang menyiasat keadaan sebenar kejadian.
Ramai peminat dan rakan industri meluahkan rasa sedih atas pemergiannya serta mengagumi ketabahannya untuk bangkit semula melalui lakonan walaupun berdepan pelbagai ujian hidup.



