Pelanggan Singapura Terkejut Perlu Bayar RM902 Untuk Hidangan Ikan Patin Stim Di Genting Highland

Sebuah restoran di Genting Highlands mengenakan bayaran sebanyak RM902 kepada sekumpulan 13 pelancong dari Singapura dan China bagi hidangan ikan patin stim.
Hal tersebut dikongsikan oleh salah seorang pelancong asal Singapura yang dikenali sebagai Jimmy.
Jimmy dan rakan-rakannya mengunjungi restoran berkenaan yang terletak di Gohtong Jaya pada 16 Mac lalu.
“Seramai 10 daripada kami ialah warga emas dari Singapura. Mereka terkejut besar apabila melihat harga ikan patin sungai yang dipesan,” katanya.
Menurut Jimmy, mereka dimaklumkan yang ikan tersebut seberat 2.7 kilogram dengan harga RM338 sekilogram.
Secara keseluruhan, bil makanan mereka mencecah RM1,762.
Kumpulan tersebut membantah bil yang dikenakan, namun tidak berjaya kerana mereka tidak bertanya tentang harga dan berat ikan sebelum ia dimasak dan dihidangkan.
Jimmy turut berkata, pihak restoran memaklumkan bahawa ikan patin tersebut lebih baik berbanding ikan ikan ketutu (soon hock) yang ditawarkan pada harga RM228 sekilogram.
“Kami tidak pernah menyangka ikan patin yang biasa dianggap lebih murah boleh menjadi semahal ini, malah jauh lebih mahal daripada ikan soon hock yang berkualiti tinggi,” katanya lagi.
Ikan soon hock atau ikan ketutu, terkenal dengan isi putih yang halus dan lazimnya merupakan ikan yang berharga tinggi.
Sebagai respons, jurucakap restoran tersebut memaklumkan siasatan dalaman telah dijalankan susulan isu bil tersebut.
“Berdasarkan rekod kami, kakitangan telah mengikuti prosedur tempahan standard dengan menerangkan harga dan berat ikan kepada pelanggan. Ia juga dimaklumkan ikan yang dipilih adalah besar dan akan dipotong sebelum dimasak,” katanya.
Pihak restoran turut mengakui terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam cara saiz hidangan dijelaskan dan akan meningkatkan latihan kakitangan serta komunikasi perkhidmatan.
“Kekeliruan atau kebimbangan mengenai bil boleh menjejaskan pengalaman pelanggan, dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” ujar restoran itu lagi.
Harga ikan tersebut dikategorikan sebagai ‘harga musim’, di mana pelanggan perlu bertanya kepada kakitangan untuk mendapatkan penjelasan lanjut sebelum membuat pesanan.
Sumber: Stomp



