“Ini Bukan Lelaki, Ini Binatang”

Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa marah terhadap isu penderaan domestik yang kini semakin membimbangkan.
Serimah menyifatkan lelaki yang tergamak memukul isteri sebagai individu yang tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, perbuatan kejam itu langsung tidak mencerminkan sifat seorang lelaki, malah tidak layak disamakan dengan mana-mana makhluk di muka bumi.
“Ini bukan lelaki. Ini binatang. Eh maaf, binatang pun tak macam ini,” tulisnya dalam satu hantaran di Threads.
Sarimah turut berkongsi semula rakaman video tular yang memaparkan seorang lelaki bertindak ganas memukul isterinya sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Berdasarkan laporan yang dikongsikan, mangsa yang sedang hamil anak kembar bukan sahaja dipukul, malah diseret sehingga jatuh terbaring di atas lantai.
Insiden tersebut kini difahamkan sedang dalam siasatan pihak berkuasa, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang menggesa agar pelaku dikenakan tindakan tegas.
Rata-rata netizen turut menyuarakan rasa simpati terhadap mangsa serta berharap keadilan dapat ditegakkan demi keselamatan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.



