“Drama Sekarang, Pusing-Pusing Kisah Penyondol & Wanita Murah”

Pelakon, Reen Rahim, 38, meluahkan rasa kurang senang terhadap perkembangan industri drama tempatan yang menurutnya seakan tidak berubah dan masih berkisar pada tema yang sama sejak sekian lama.
Pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim menyifatkan kebanyakan drama kini masih berlegar pada kisah penyondol, wanita yang dipaparkan sebagai lemah serta lelaki yang tidak bertanggungjawab.
“Jujur cakap, makin lama makin meluat. Drama sekarang macam tiada cerita lain. Pusing-pusing kisah penyondol, wanita bodoh dan wanita murah.
“Lima tahun ini macam skrip ‘stuck’ di takuk yang sama. Memang bawa watak jahat itu menyeronokkan, tetapi dari sudut pandang sebagai penonton, penatlah melihat cerita perempuan murah dan suami yang tidak ada pegangan.
“Perempuan bodoh, lelaki bebal. Itu zaman bila punya perempuan? Zaman itu sudah habislah. Sekarang manusia sudah lebih bijak, faham dan ada nilai,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Reen menjelaskan bahawa tegurannya bukan bertujuan memarahi mana-mana pihak, sebaliknya dia sekadar merindui naskhah yang membawa nilai murni serta jalan cerita lebih berkualiti.
Perkongsian tersebut turut mendapat reaksi pelbagai daripada pengikutnya yang rata-rata bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Seorang pengikut menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang wajar kerana drama yang terlalu kerap memaparkan wanita sebagai lemah dianggap merendahkan martabat golongan tersebut.
“Memang meluat kerana merendahkan darjat perempuan. Macam tiada idea lain. Balik-balik kisah penyondol atau cerita agama sesat yang juga merendahkan wanita. Drama Melayu masih memaparkan wanita sebagai bodoh sehingga hari ini amat menyedihkan,” tulisnya.
Dalam masa sama, seorang lagi pengikut memberi pandangan berbeza dengan menyatakan cabaran untuk menghasilkan drama berkualiti kadangkala datang daripada sikap penonton sendiri yang tidak memberi sokongan kepada karya berbeza.
Menurutnya, terdapat beberapa drama yang dianggap baik seperti Keluarga Iskandar dan Bahalol, namun kurang mendapat perhatian daripada penonton walaupun mempunyai kualiti penceritaan yang tinggi.



