Viral

“Bayaran Rendah Satu Penghinaan”

Pelakon, Bront Palarae, 48, menyifatkan tawaran bayaran terlalu rendah kepada penggiat seni, khususnya artis senior, sebagai satu penghinaan kerana tidak setimpal dengan hasil kerja yang diberikan.

Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin, berkata individu dalam industri hiburan sepatutnya lebih menghargai bakat karyawan, sama ada yang baharu mahupun veteran, dengan menawarkan bayaran yang berpadanan dengan pengalaman serta komitmen kerja mereka.

Menurutnya, pihak yang terlibat perlu lebih peka dan menilai kemampuan seseorang berdasarkan kualiti kerja sebelum mengemukakan sebarang tawaran.

“Bagi saya, bayaran yang terlalu rendah memang satu penghinaan, lebih-lebih lagi kepada pelakon veteran yang sudah lama mencurahkan bakti dalam industri ini,” katanya.

Tambahnya, situasi tersebut juga boleh berlaku apabila terdapat segelintir pihak yang hanya bertindak sebagai pelabur tetapi menganggap diri mereka sebagai penerbit.

Jelas Bront, kebanyakan pelabur sebenarnya tidak mengetahui kadar bayaran munasabah untuk pelakon atau kru produksi kerana bidang tersebut bukan kepakaran mereka.

“Biasanya penerbit yang benar-benar faham industri tahu keperluan sebenar, termasuk jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menghasilkan sesebuah naskhah.

“Apabila perkara itu tidak difahami, ia boleh menyebabkan ada pelakon yang menerima bayaran terlalu rendah dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, seorang dramatis senior mendedahkan pernah menerima tawaran berlakon dalam sebuah drama di Kuala Kangsar selama lima hari dengan bayaran RM500 bagi menjayakan 38 babak.

Related Articles

Back to top button