Jay Park Akui Rasa Bersalah Sewaktu Meninggalkan 2PM

Jay Park mendedahkan, keputusan meninggalkan kumpulan K-Pop 2PM sebagai satu tindakan yang menyusahkan ramai orang.
Menerusi temu bual di saluran Youtube Eyes Magazine, Jay Park berkata, sungguhpun dia berasa bersalah, namun dia tidak berasa cemas dengan keputusan itu yang dilihat telah mengubah kariernya dalam industri muzik global.
“Saya hanya rasa bersalah dan meminta maaf,” katanya.
Mengenai keputusannya menghentikan aktiviti selepas keluar dari kumpulan itu, Jay Park berkata, dia hanya mengikut arus keadaan dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam apa jua situasi.
Selepas meninggalkan 2PM, Jay Park pulang ke Amerika Syarikat (AS) dan memulakan semula kerjayanya dengan memuat naik video cover di YouTube. Menurutnya, pada ketika itu platform tersebut sedang berkembang pesat.
Dia merakam video-video cover tersebut di bilik air menggunakan MacBook yang diterimanya sebagai hadiah dan video tersebut menjadi tular dengan kira-kira tiga juta tontonan dalam tempoh sehari.
Jay Park juga berkongsi tentang nilai hidup yang dipegang. Menurutnya, dia bukan jenis yang takut menerima kecaman, sebaliknya dia lebih selesa melakukan perkara secara bebas selagi tidak menyakiti orang lain.
Tambahnya, dia tidak mengikut sepenuhnya jangkaan masyarakat terhadap bagaimana seorang penyanyi atau selebriti sepatutnya berkelakuan.
Perkongsian Jay Park dalam video tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat dan netizen Korea, yang memuji ketabahannya serta nilai hidup yang membantunya bangkit semula selepas melalui fasa sukar dalam kerjayanya.



