Zara Zya Dimalukan Pelakon ‘J’ Depan Umum

Pelakon, Zara Zya, 41, mendedahkan pernah melalui pengalaman pahit apabila menjadi mangsa hinaan seorang pelakon wanita senior yang namanya bermula dengan huruf ‘J’ ketika awal pembabitannya dalam dunia seni.
Menurut Zara, insiden itu berlaku ketika dia terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem di sebuah pusat beli-belah, pada waktu namanya masih belum dikenali ramai.
“Pelakon itu seorang perempuan, namanya J. Ada beberapa peminat mahu bergambar dengannya, itu perkara biasa sebab dia dikenali.
“Namun yang menyedihkan, dia datang kepada saya dan mentertawakan saya di hadapan pasukan penggambaran,” katanya dalam sebuah hantaran.
Zara berkata pelakon berkenaan secara terbuka memperlekehkan dirinya sebagai pelakon baharu yang ketika itu belum mempunyai nama dan pengaruh.
“Dia ketawa sambil berkata, ‘Hahaha, kamu siapa? Orang tidak kenal kamu pun. Kamu tidak terkenal pun!’ Berkali-kali dia mengulanginya,” katanya.
Tambahnya lagi, dia terpaksa menelan perasaan dan terus bersikap profesional sepanjang tujuh hari penggambaran walaupun sering berdepan kata-kata nista.
“Saya diam. Saya meneruskan kerja saya. Saya masih mentah lagi dalam industri pada masa itu. Apabila teringat perkara itu, saya sedih tetapi tidak menangis.
“Kesedihan itu terpendam dan membuatkan saya sentiasa beringat supaya jangan menghina atau memandang rendah terhadap orang lain,” jelasnya lagi.
Menganggap kejadian itu sebagai satu pengajaran hidup, Zara turut menyatakan rezeki dan nasib seseorang tidak dapat dijangka.
“Kita tidak tahu bagaimana rezeki kita dan bagaimana nasib orang itu kelak. Dia pun sudah tidak ada dalam industri lagi,” ujarnya.



