
YouTuber serta usahawan popular Taiwan, Li Ke Tai Tai atau Evelyn Chen, baru-baru ini mendedahkan dia memberi kebebasan untuk para pekerjanya menentukan sendiri jumlah bonus hujung tahun mereka.
Dalam satu temu bual, dia memaklumkan yang hasil pendapatan syarikat meningkat dua kali ganda setiap tahun, dengan sebahagian besarnya hasil kerjasama berjaya bersama anggota Super Junior, Yesung.
Justeru, sebagai menghargai kerja keras pasukan seramai 15 orang itu, Li Ke Tai Tai memutuskan untuk tidak menggunakan penilaian prestasi tradisional. Sebaliknya, dia menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada para pekerja.
“Saya biarkan mereka sendiri isi jumlah (bonus) yang mereka mahukan. Apa sahaja angka yang mereka tulis, itulah jumlah yang saya bayar,” katanya.
Apabila ditanya adakah pekerja yang berani meminta lebih daripada NT$100,000 (RM12,500), usahawan itu terus mengangguk dan menyatakan dia tidak terkejut sama sekali dengan jumlah itu, selain merasakan ganjaran itu sememangnya layak diterima.
UDN Taiwan melaporkan jumlah keseluruhan bonus yang dibayar dipercayai mencecah beberapa juta dolar Taiwan.
Berita tersebut menjadi tular di platform Taiwan seperti Dcard dan PTT, dengan ramai pengguna berseloroh bertanya di mana mereka boleh menghantar resume.
“Ada kekosongan jawatan tak?” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi berkata: “Ini hanya berkesan jika ada pasukan yang tidak tamak dan bos yang benar-benar pemurah,” ujar netizen.



