GlobalViral

Kecewa Dicurangi, Suami Bakar Kekasih Gelap Di Khalayak Umum

Seorang lelaki di China bertindak membakar seorang individu di jalanan menggunakan penyembur api. Insiden itu dirakam oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Menurut laporan SingTao Headline, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia,

Berdasarkan khabar angin yang tersebar di internet, kejadian itu dikatakan berlaku di wilayah Jiangsu pada 2 Februari lalu.

Suspek dipercayai mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit, lalu bertindak membalas dendam dengan membunuh individu yang disangka sebagai kekasih isterinya.

Sehingga 4 Februari, pihak polis tempatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Menurut SingTao Headline, individu yang mendakwa mempunyai maklumat dalaman berkongsi di media sosial bahawa suspek percaya isterinya tidak pulang ke rumah selama beberapa bulan kerana tinggal bersama kekasihnya.

Sebelum kejadian, suami tersebut didakwa pernah bersemuka dengan isterinya dan lelaki berkenaan di rumah mereka sambil membawa sebilah pisau, namun dia telah dipukul oleh kedua-duanya.

Dalam keadaan marah, dia kemudiannya membeli beberapa komponen secara dalam talian untuk membuat penyembur api sendiri, lapor 8world.

Saksi yang didakwa berada di tempat kejadian mendakwa mangsa sempat merayu sebelum diserang. Mangsa juga dikatakan menawarkan wang pampasan berjumlah 500,000 yuan (RM284,275), namun suspek tetap meneruskan perbuatannya.

Selepas kejadian, beberapa anggota polis tiba di lokasi untuk menahan suspek, seperti yang dapat dilihat dalam rakaman video.

Ketika polis masih menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, suspek dilihat duduk di tepi jalan sambil menghisap rokok.

Seorang individu yang mendakwa sebagai saksi berkata, suspek kelihatan tenang ketika menunggu ketibaan polis. Dia juga didakwa menyatakan bahawa dia telah merancang lebih awal untuk mati bersama mangsa.

Related Articles

Back to top button