Gaya HidupViral

“Gaji RM5,000 Sebulan Pun Tak Cukup”: Bapa Perlu Berjimat Sebulan Demi Beli Baju RM49.90 Untuk Anak

Seorang lelaki mendedahkan yang walaupun memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan, dia terpaksa berjimat cermat selama sebulan demi membeli sehelai baju berharga RM49.90 untuk anaknya.

Dalam hantaran di platform media sosialnya, lelaki itu menjelaskan ramai dalam kalangan kenalan sekeliling menganggap gajinya itu adalah lebih daripada cukup selain ada yang mempersoalkan cara dia menguruskan hal berkaitan kewangan.

Begitupun, menurutnya, selepas ditolak bayaran pinjaman perumahan, ansuran kereta, bil utiliti, kos komunikasi serta perbelanjaan harian rumah tangga, hampir tiada wang yang berbaki.

Dia menyifatkan baki wang tersebut bukan sebagai perbelanjaan hidup, sebaliknya sekadar wang untuk terus bertahan.

Sebagai ketua keluarga, lelaki itu berkongsi yang dia sengaja mengurangkan perbelanjaan kecil harian seperti membeli kopi dan memilih makan tengah hari yang lebih ringkas. Selepas sebulan berjimat, barulah dia berjaya mengumpul wang yang cukup untuk membeli pakaian baharu untuk anaknya.

“Anak saya gembira, tetapi hati saya bercampur-baur,” tulisnya.

Dalam masa sama, lelaki itu meluahkan yang pertumbuhan gaji tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup, sambil menyatakan RM5,000 sebulan sudah tidak membawa ke mana-mana pada zaman sekarang.

Hantaran tersebut pantas mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia, dengan netizen berkongsi pengalaman dan kesukaran masing-masing dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat serta gaji yang tidak berubah.

Ramai berpendapat gaji RM5,000 sebulan kini tidak lagi mencukupi untuk menyara sebuah keluarga dengan selesa dalam keadaan ekonomi semasa.

Antara komen netizen:

“Saya bergaji RM15,000 sebulan pun sekadar cukup-cukup. Pinjaman rumah RM2,500, kereta RM1,000, ibu bapa RM3,000, perbelanjaan makanan keluarga RM2,000, yuran sekolah dan tuisyen dua anak RM800, minyak, tol, air, elektrik dan internet RM1,200. Makan luar dan hiburan keluarga RM1,000 sebulan, insurans RM1,200, dan cukai pendapatan RM1,200.”

“Ia bergantung pada situasi. Sedikit lebih RM5,000 biasanya mencukupi untuk hidup asas. RM5,000 bukan gaji tinggi, tapi bukan juga rendah. Untuk kerja biasa, itulah julatnya melainkan kita tingkatkan kemahiran, ada pendidikan lebih tinggi atau mulakan perniagaan sendiri.”

“Kalau bujang mungkin boleh bertahan. Tapi bila sudah ada anak, memang sangat ketat. Kos penjagaan anak dan insurans sahaja boleh cecah lebih RM1,000 sebulan. Itu belum masuk rumah, kereta dan makan harian. Sebab itu ramai sekarang perlukan dua sumber pendapatan.”

Related Articles

Back to top button