ConcertMusic

BTS Bakal Lancar Album Dengan Persembahan Terbuka, Netflix Jadi Rakan Penyiar Rasmi

Kumpulan K-Pop popular, BTS bakal mengadakan sebuah siaran langsung sempena comeback terbaharu di Dataran Gwanghwamun, Seoul, Korea Selatan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi BigHit Music, acara tersebut yang berjudul BTS Comeback Live: ARIRANG bakal diadakan pada 21 Mac pukul 8 malam.

Acara tersebut dianjurkan bagi meraikan pelancaran album baharu BTS berjudul ARIRANG.

Sepanjang persembahan tersebut, kumpulan itu buat pertama kalinya akan mempersembahkan lagu-lagu baharu mereka, termasuk lagu utama.

Menariknya, ini merupakan kali pertama seorang pemuzik pop mengadakan persembahan solo di Dataran Gwanghwamun. Melalui pentas ini, BTS dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah dalam landskap budaya Korea.

Pada 2020, BTS pernah mengadakan persembahan berlatarbelakangkan Geunjeongjeon dan Gyeonghoeru di Istana Gyeongbokgung sempena BTS Week menerusi rancangan The Tonight Show Starring Jimmy Fallon terbitan NBC.

Kini, sekitar lima setengah tahun kemudian, konsert yang berlangsung di tengah-tengah bandar ini dijangka menjadi satu momen istimewa yang menandakan permulaan baharu BTS.

Selain itu, BTS Comeback Live: ARIRANG akan dianjurkan dengan kerjasama Netflix. Ia juga menandakan kali pertama sebuah acara besar yang diadakan di Korea disiarkan secara langsung ke lebih 190 wilayah tontonan di seluruh dunia melalui Netflix, sekali gus menjadikan BTS kumpulan pertama yang melakukannya.

Netflix turut mengumumkan akan menyiarkan secara eksklusif filem dokumentari BTS: THE RETURN pada 27 Mac. Dokumentari tersebut merakam refleksi muzik kumpulan itu serta proses pembentukan BTS hari ini ketika mereka melancarkan album baharu buat pertama kali selepas kira-kira 3 tahun 9 bulan.

BigHit Music menjelaskan, ARIRANG mengandungi titik permulaan, identiti serta emosi yang ingin disampaikan BTS pada masa ini.

Sementara itu, BTS bakal melancarkan album studio penuh kelima mereka, ARIRANG, pada 20 Mac depan. Album ini mengandungi 14 lagu yang mencerminkan identiti kumpulan tersebut.

Related Articles

Back to top button