BisnesMusic

‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Paling Banyak Distrim Tahun 2025, Industri Muzik Raih RM428.3 Juta

Industri muzik tempatan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah dengan nilai keseluruhan mencecah RM428.3 juta sepanjang tahun 2025.

Pencapaian itu merekodkan lonjakan sebanyak 17.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengesahkan momentum positif sektor muzik negara yang semakin kukuh dipacu oleh perkembangan ekosistem digital.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim menyifatkan kejayaan tersebut sebagai petanda masa depan industri yang semakin cerah, namun menegaskan keperluan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan pertumbuhan berterusan.

Menurutnya, peningkatan penggunaan platform penstriman muzik menjadi faktor utama yang melonjakkan hasil industri tempatan ke tahap lebih strategik.

“Pertumbuhan penggunaan perkhidmatan penstriman, ditambah pula dengan kerjasama awam dan swasta yang lebih progresif, membuka peluang luas untuk industri muzik Malaysia memperkukuh sumbangan kepada ekonomi negara serta menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Statistik RIM menunjukkan perkhidmatan penstriman digital kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan industri, diikuti peningkatan konsisten kutipan melalui Pertubuhan Pengurusan Kolektif (CMO).

Dalam kategori domestik, lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari muncul sebagai karya paling banyak distrim, manakala kumpulan Insomniacks mengekalkan kedudukan sebagai artis tempatan dengan jumlah penstriman tertinggi.

Bagi pasaran antarabangsa pula, karya kolaborasi Lady Gaga dan Bruno Mars menerusi Die With A Smile terus mendominasi cita rasa pendengar di Malaysia.

Tahun 2025 juga menyaksikan artis tempatan melebarkan sayap menerusi pelbagai kolaborasi strategik, antaranya melibatkan Ernie Zakri, Dolla, Insomniacks dan JessC yang berjaya mencuri perhatian di peringkat serantau.

Sokongan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM700,000 turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu produksi muzik tempatan.

Selain itu, RIM dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiat usaha membanteras pelanggaran hak cipta melibatkan premis hiburan, platform e-dagang serta laman web tidak sah.

Pendekatan penguatkuasaan berterusan terhadap aktiviti cetak rompak dilihat memberi impak positif kepada peningkatan hasil industri muzik tempatan.

Antara artis yang menerima manfaat dana tersebut termasuk Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Hazama, yang berjaya menghasilkan karya berkualiti tinggi sehingga mendominasi senarai pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Namun di sebalik pencapaian membanggakan itu, RIM turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang menggunakan karya muzik berhak cipta tanpa kebenaran.

Sehubungan itu, RIM menggesa agar pembangun AI mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta sebelum melatih model, selain mewajibkan pelabelan jelas bagi kandungan muzik jana AI serta mencadangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dilanjutkan kepada 70 tahun agar selari dengan piawaian antarabangsa.

Related Articles

Back to top button