Warna Tidak Sekata Cetus Persoalan, Pembeli Dakwa Beg LV Pernah Digunakan Sebagai Display

Seorang wanita dari Jiangsu menuntut bayaran balik selepas teman lelakinya membelanjakan 94,500 yuan (RM57,672) untuk membeli sebuah beg tangan kulit burung unta jenama Louis Vuitton di sebuah butik di Hangzhou.
Wanita itu mendakwa terdapat ketidakseimbangan warna pada bahagian beg tersebut selepas pembelian dibuat.
Menurut laporan, dia kemudiannya mula mengesyaki bahawa beg itu bukanlah produk baharu, sebaliknya merupakan unit pameran yang pernah dipindahkan antara beberapa butik Louis Vuitton di bandar-bandar berbeza dan telah dipegang serta dicuba oleh ramai pelanggan.
Wanita yang hanya dikenali dengan nama keluarga Zhang berkata seorang jurujual memberi perhatian khusus kepadanya dan mengikutinya sebaik sahaja dia memasuki butik berkenaan.
Menurut Zhang, apabila dia menunjukkan minat terhadap koleksi beg tangan, jurujual tersebut mencadangkan sebuah beg kulit burung unta tertentu sambil mendakwa ia merupakan rekaan terbaharu dan hanya terdapat dua unit di seluruh negara.
Zhang berkata dia sebenarnya baru membeli sebuah beg di Chengdu dua bulan sebelum itu dan tidak memerlukan beg baharu. Namun, jurujual berkenaan terus memujuknya dengan berkata: “Siapa yang tidak mahukan barangan yang cantik?” katanya.
Zhang menambah, situasi menjadi lebih mendesak apabila jurujual mengetahui teman lelakinya akan membuat pembayaran.
“Sebaik sahaja jurujual mengetahui teman lelaki saya yang akan membayar, dia terus memanggil tiga kakitangan lelaki untuk mengelilingi kami.
“Teman lelaki saya seorang yang lembut dan tidak suka memanjangkan perkara. Dia merasakan wang boleh menyelesaikan masalah dan pada masa sama mahu menghadiahkan saya hadiah hari jadi, jadi dia terus membuat bayaran,” katanya.

Menurut Zhang, hanya selepas pembelian dibuat barulah beliau mengetahui bahawa kakitangan butik telah mengukir inisial nama teman lelakinya pada label beg penyimpanan (dust bag).
Butik tersebut kemudian menggunakan ukiran itu sebagai alasan untuk menolak permohonan bayaran balik.
Selepas kembali ke hotel, Zhang sedang merakam video untuk dikongsi dengan rakan-rakannya apabila beliau menyedari terdapat satu bahagian pada sisi beg yang warnanya kelihatan tidak sekata berbanding bahagian lain.
Beliau segera mengambil gambar dan menghubungi butik itu pada malam yang sama.
Pihak butik pada mulanya menawarkan pertukaran produk dan menjelaskan bahawa perbezaan warna tersebut merupakan tekstur semula jadi kulit burung unta, bukannya kecacatan produk.
Sebuah lagi beg model yang sama kemudian dibawa dari butik lain sebagai pengganti.
Bagaimanapun, Zhang tidak lagi berminat untuk menukar beg tersebut.
Dakwanya, selepas membuat carian di platform media sosial Xiaohongshu, dia menemui beberapa hantaran sejak Disember tahun lalu yang menunjukkan beg sama dipamerkan di kaunter Louis Vuitton di pelbagai bandar, malah terdapat gambar pelanggan lain yang turut mencuba.
“Jelas sekali ia adalah barang pameran yang telah disentuh dan dicuba oleh ramai orang.
“Saya membelanjakan hampir 100,000 yuan kerana mahukan beg baharu yang eksklusif dan unik, bukannya barang pameran,” katanya.
Zhang turut mendakwa butik berkenaan gagal memberikan maklumat yang jelas mengenai status sebenar beg tersebut dan mungkin telah mengelirukan pengguna.
Apabila dia kembali ke butik untuk mendapatkan penjelasan, pengurus bertugas memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menjawab persoalan tersebut dan meminta pertanyaan bertulis dihantar kepada jabatan berkaitan.
Satu lagi sesi rundingan turut diadakan, namun berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
“Saya hanya mahukan bayaran balik.
“Saya tidak mahu menukar kepada produk lain yang bernilai sama dan saya juga tidak mahu terus berbelanja di butik anda,” katanya.
Menurut laporan, tawaran terakhir yang diberikan oleh pihak Louis Vuitton ialah membenarkan Zhang menukar beg tersebut dengan produk lain yang mempunyai nilai sama atau lebih tinggi daripada 94,500 yuan (RM57,672).
Setakat ini, Louis Vuitton belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kepada media berhubung isu tersebut.
Beg berkenaan telah dihantar kepada pihak syarikat untuk dinilai bagi menentukan sama ada ketidakseimbangan warna itu boleh dianggap sebagai satu kecacatan produk.
Sumber: Mothership



