Wanita Berbelanja Ribuan Ringgit Sambut Hari Lahir Teman Lelaki, Tetapi Dibalas Sekotak Teh Dari Thailand

Dalam mana-mana hubungan percintaan, usaha sepatutnya datang daripada kedua-dua belah pihak. Namun, seorang wanita berkongsi kisah bagaimana dia memberi segalanya dalam satu hubungan, tetapi menerima sangat sedikit sebagai balasan.

Menerusi satu perkongsian di platform Thread, wanita itu menceritakan pengalamannya bercinta dengan seorang lelaki bergaji lima angka yang sangat berkira.

Beberapa bulan selepas mereka mula bercinta, hari lahir lelaki itu pun tiba. Mahu menjadikannya istimewa, wanita tersebut berbelanja RM1,800 untuk makan malam mewah, apatah lagi mengetahui teman lelakinya tidak menyambut hari jadi selama lebih 10 tahun.

Lelaki itu jelas terharu, dan bertanya dengan penuh semangat ke mana mereka akan pergi dan apa yang patut dipakai.

Sebulan kemudian, tiba pula hari jadi wanita berkenaan. Walaupun dia menerima ucapan manis, tiada sebarang sambutan atau sebarang makan malam. Dia menunggu, dengan harapan mungkin ada kejutan, namun minggu demi minggu berlalu tanpa sebarang perancangan.

Hari jadinya berlalu begitu saja, tanpa walau sekeping roti canai atau segelas teh tarik daripada lelaki yang pernah menyatakan hasrat untuk memperisterikannya.

Walaupun kecewa, dia tetap bertahan dalam hubungan itu dan cuba menerima kekurangan pasangannya. Namun, dalam satu pertengkaran kemudian, dia akhirnya meluahkan rasa hati. Alasan lelaki itu? Dia ‘terlupa’.

Lama-kelamaan, dia sedar yang dia tidak bebas pun untuk memesan makanan apabila mereka keluar makan. Lelaki itu akan pilih tempat, tentukan apa yang dipesan, dan dia pula rasa bersalah kalau mahu tambah lebih.

Lebih menyakitkan apabila dia membandingkan dengan arwah suaminya dahulu, yang sangat pemurah dan tidak pernah berkira soal keperluan harian.

Hubungan itu bertahan lebih setahun dan sepanjang masa itu, dia yang banyak memberi, sama ada dalam bentuk hadiah, makanan, atau perhatian. Sementara itu, satu-satunya pemberian daripada lelaki itu hanyalah sekotak teh dari Thailand.

Walaupun pengalaman itu menyakitkan, dia tetap bersyukur hubungan itu akhirnya berakhir.

Related post

Leave a Reply