TravelViral

Umur 27 Tahun Tak Pernah Travel, Simpanan Lelaki Ini Hampir Cecah RM100,000

Ketika ramai menghabiskan usia 20-an dengan mengumpul cop pasport dan kenangan melancong, seorang lelaki dari Malaysia memilih laluan yang sangat berbeza.

Pada usia 27 tahun, lelaki tersebut mengakui dia tidak pernah melancong ke luar negara dengan sendirii. Disebabkan pilihan itu, dia secara tidak langsung mampu menyimpan hampir RM100,000.

Kisah lelaki itu tular di Threads selepas dia berkongsi tentang gaya hidupnya serta kekurangan pengalaman melancong.

Perkongsiannya sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen, yang mempersoalkan sama ada melancong benar-benar satu keperluan pada usia 20-an.

Dalam perkongsiannya, lelaki itu berkata satu-satunya pengalaman ke luar negara yang pernah dilalui adalah apabila syarikat menghantarnya ke India untuk latihan kerja.

Menurutnya, semua urusan perjalanan telah diatur oleh majikan, daripada penerbangan hingga penginapan, menyebabkan dia tidak mempunyai pengalaman merancang atau mengurus perjalanan sendiri.

“Adakah normal berusia 27 tahun tetapi tak pernah travel ke luar negara? Kalau suruh saya naik kapal terbang, saya pun tak tahu cara beli tiket atau ke mana nak pergi untuk boarding,” tulisnya.

Tambahnya lagi, perjalanan ke India itu terasa sangat berbeza kerana dia ditemani rakan sekerja sepanjang masa dan tidak perlu menguruskan sebarang logistik secara sendiri.

“Waktu ke India itu pun sebab syarikat hantar. Mereka uruskan semuanya… tiket, hotel, semua,” katanya lagi.

Merenung situasinya, lelaki itu mengakui kadang-kadang dia berasa serba salah memiliki pasport yang jarang digunakan.

“Rasa macam membazir buat pasport tapi tak guna,” luahnya,

Namun begitu, dia sedar dengan tidak membelanjakan wang bagi melancong ke luar negara, dia boleh fokus untuk menyimpan wang.

“Oleh sebab saya memang tak tahu nak travel, saya berjaya simpan hampir RM100,000 sebelum umur 26. Saya rasa itu satu perkara yang baik,” kongsinya.

Pengakuannya itu mendapat perhatian ramai, terutamanya mereka yang berasa tertekan untuk melancong hanya kerana ia sering dikaitkan dengan kejayaan atau ‘menikmati hidup’.

Di ruangan komen, ramai pengguna Threads meyakinkannya bahawa melancong adalah pilihan peribadi, bukan satu pencapaian hidup yang wajib dicapai pada usia tertentu.

Antara komen netizen:

“Suami saya hanya naik kapal terbang buat kali pertama ketika umur 28 tahun.”

“Ada orang simpanan tahap T20 tapi tak travel. Ada pula yang suka travel tapi simpanan tahap B40.”

“Saya ada kawan pakai barang mewah tapi langsung tak travel. Semua bergantung pada gaya hidup dan minat masing-masing.”

Related Articles

Back to top button