Tidak Lagi Berahsia, Siti Saleha Umum Hamil Cahaya Mata Sulung

Menamatkan teka-teki, pelakon Siti Saleha, 35, akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Joshua Fitton.

Berita gembira itu dikongsikan Saleha menerusi satu video pendek di Instagram yang memperlihatkan dia memeluk suaminya dalam suasana romantik di sebuah pusat peranginan.

Lebih mencuri perhatian, tangan Saleha turut memegang beberapa keping foto dipercayai imbasan ‘ultrasound’ bayi mereka.

Meskipun tidak mendedahkan usia kandungan atau butiran lanjut mengenai kehamilannya, pengumuman tersebut sudah cukup untuk menceriakan para peminat.

Sementara itu, ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada peminat serta rakan-rakan selebriti yang teruja menyambut berita bahagia tersebut.

Sebelum ini, desas-desus mengenai kehamilan Saleha mula timbul selepas satu video tular memaparkan dirinya hadir di sebuah acara filem dengan mengenakan busana hitam yang menampakkan sedikit ‘baby bump’.

Siti Saleha mengumumkan berita baik tersebut melalui perkongsian di Instagram.

Begitu pun, ketika diminta mengulas, pelakon yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu memilih untuk tidak mengulas lanjut dan meminta ruang privasi.

Malah, ketika ditemui media baru-baru ini, Saleha berkata dia bakal bercuti panjang selepas selesai menjalani penggambaran drama Bad Cop.

Untuk rekod, Saleha dan Joshua yang juga seorang pereka fesyen selamat mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu.

Related post

Leave a Reply