Teroka Sisi Berbeza, Amir Masdi Bawa Kelainan

Teroka Sisi Berbeza, Amir Masdi Bawa Kelainan

Penyanyi, Amir Masdi, kembali dengan kelainan menerusi single terbaharunya berjudul Take Me Home, yang menampilkan sisi berbeza dirinya sebagai penyanyi versatil dalam arena muzik tempatan. 

Lagu ciptaan sepenuhnya Amir bersama Edry Abd. Halim ini juga menjadi sebahagian daripada album keduanya, AM:PM, yang menonjolkan pelbagai eksperimen muzik segar.

Menurut Amir, inspirasi utama Take Me Home tercetus ketika dia berada di Manchester, England.

“Saya banyak mengambil inspirasi daripada lagu-lagu western rock, pop rock dan ballad rock cinta yang popular pada era 90-an dan awal 2000-an. Ketika menulis lagu ini, saya berada jauh dari tanah air, jadi secara semula jadi perasaan ingin pulang itu terzahir dalam penulisan lagu,” katanya.

Namun, jelas Amir lagi, maksud ‘home’ dalam lagu ini lebih luas daripada sekadar rumah fizikal. 

“Asalnya saya tulis ‘home’ ini sebagai sebuah perasaan, seseorang dan juga hati manusia. Ia adalah tempat di mana kita merasa selamat. Jadi, hati orang yang kita sayang itu boleh menjadi rumah buat kita.

“Saya mulakan dengan bahagian korus terlebih dahulu. Selepas itu, baru idea keseluruhan lirik tercetus. Take Me Home lebih bersifat ‘straightforward’ dan mengalir terus kepada pendengar dari mula hingga akhir, berbeza dengan karya saya sebelum ini yang lebih terarah kepada kisah cinta secara spesifik,” jelasnya.

Amir turut menegaskan bahawa lagu ini bukan semata-mata kisah peribadinya, sebaliknya lebih kepada gambaran umum yang dekat dengan pengalaman ramai. 

“Saya tak mahu hanya menulis untuk diri sendiri, tapi saya mahu ia menjadi sesuatu yang pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan mereka,” katanya lagi.

Dari segi harapan, Amir percaya Take Me Home mampu membuka ruang baharu untuknya sebagai penyanyi yang serius menembusi pasaran antarabangsa. 

“Saya berharap lagu ini memberikan pengalaman yang berbeza bukan sahaja dari aspek muzik, malah juga melalui muzik video yang bakal dipertontonkan. 

“Saya mahu pendengar melihat sisi saya menyanyikan lagu Inggeris, dan kalau ada rezeki, saya mahu bawa lagu ini keluar negara bersama nama Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, mesej utama yang ingin disampaikan melalui lagu ini adalah tentang hubungan rapat antara seorang penyanyi dengan  peminat. 

“Saya mahu berkongsi perasaan, berhubung dengan pendengar, dan menunjukkan bahawa Amir Masdi masih terus berkarya dengan identiti tersendiri. Album AM:PM adalah bukti perjalanan muzik saya yang dihasilkan sepenuhnya bersama Edry Abdul Halim dengan bunyi dan hala tuju yang unik,” katanya.

Amir berharap taruhan terbaharunya bakal diterima baik peminat.

Dalam perkembangan lain, Amir baharu saja dipilih  sebagai wakil rasmi Malaysia bagi menjayakan program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka yang berlangsung di Expo 2025 Osaka, Jepun, bulan lalu.

Program ini membawa semangat sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke pentas dunia, menampilkan persembahan yang menggabungkan warna-warni budaya, irama muzik, dan mesej perpaduan sebagai simbol identiti negara. 

Expo 2025 Osaka menjadi platform global yang menghimpunkan pelbagai negara dari seluruh dunia untuk berkongsi idea, inovasi dan seni budaya.

“Saya amat berbesar hati dan terharu kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di Expo 2025 Osaka. Bagi saya, ini bukan sekadar persembahan, tetapi peluang untuk membawa semangat Malaysia ke mata dunia. 

“Saya mahu penonton di Osaka merasai keindahan budaya kita, semangat perpaduan rakyat Malaysia, dan muzik kita yang penuh jiwa. Semoga persembahan saya nanti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain persembahan muzik, acara ini turut memaparkan pameran seni dan budaya, demonstrasi masakan, serta segmen interaktif yang memperkenalkan nilai-nilai Malaysia kepada pengunjung Expo 2025 Osaka. 

Related post

Leave a Reply