Syasya Rizal Rasa Bersalah ‘Doakan’ Hal Tak Baik Untuk Suami
Penyanyi Syasya Rizal tidak menyangka gurauan kasar terhadap suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie menjadi kenyataan sehingga menyebabkan dirinya diselubungi perasaan bersalah.
Dalam perkongsian di Threads, Syasya berkata, hal tersebut terjadi ketika kesihatannya tidak berapa memberangsangkan beberapa hari lalu.
“Bila sakit dan emosi, saya tidak sengaja buat sesuatu yang tidak patut. Masa tengah demam, saya terasa hati dengan suami.
“Mulut terlepas doa: ‘Saya doakan awak pula demam, biar awak rasa macam mana sakit’. Ketika itu saya ingat hanya marah sekejap, gurau kasar sebab demam. Tak sangka, doa itu betul-betul jadi,” tulisnya.
Tambah Syasya, sebaik sahaja menyedari doanya itu menjadi kenyataan, dia berasa bersalah dan menyifatkan kata-kata seorang isteri memang ‘masin’.
“Ya Allah, masa itu terus rasa berdosa. Mulut isteri memang masin. Jangan doa yang tak baik untuk suami. Walau dalam keadaan marah atau sakit hati.
“Doa isteri mustajab, sangat masin. Kadang lebih cepat termakbul dari apa kita sangka,” tambahnya.
Syasya dalam pada itu mengingatkan kaum isteri agar lebih berhati-hati dalam meluahkan perasaan kerana doa seorang isteri sangat mudah dimakbulkan.
“Daripada doa benda yang tak baik, gunakan kuasa doa isteri untuk benda baik-baik. Sebab doa seorang isteri bukan sekadar kata-kata, itulah doa paling cepat Allah makbulkan,” ujarnya.
Sumber: Threads
