Soffi Jikan Dirawat di Hospital, Disyaki Alami Jangkitan Kuman

Pelakon, Soffi Jikan dilaporkan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas disyaki mengalami jangkitan kuman, dipercayai menyerang bahagian dada dan hati.

Berita itu mula tersebar selepas tular sebuah video di TikTok yang memaparkan keadaan terkini aktor berusia 54 tahun itu yang terlantar di katil hospital dengan keadaan agak lemah.

Menurut perkongsian tersebut, Soffi sebelum ini dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kencing tikus dan demam denggi yang dialaminya secara serentak.

Pelakon filem KL Gangster itu telah dirawat selama lebih kurang seminggu dan dibenarkan pulang selepas keadaan dilaporkan stabil.

Namun, hanya tiga hari selepas keluar wad, Soffi sekali lagi mengalami demam panas dan sakit dada yang berlarutan.

Pemeriksaan awal mendapati kemungkinan terdapat jangkitan kuman pada organ dalaman.

“Mula-mula abang Soffi Jikan masuk wad sebab kena air kencing tikus dan denggi. Lepas enam hari dia keluar, tapi demam semula.

“Sekarang sakit dada, doktor syak jangkitan kuman pula,” tulis pemilik akaun tersebut di ruang kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan peminat meluahkan rasa bimbang serta menitipkan doa agar Soffi diberi kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala.

Begitu pun, setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak keluarga atau pengurusan Soffi Jikan mengenai perkembangan terkininya.

Related post

Leave a Reply