Pelakon, Farid Kamil, 44, mendedahkan dia dan bekas isterinya, aktres Diana Danielle sudah hampir setahun tidak berhubung sejak hubungan mereka berakhir pada 24 Mac tahun lalu.
Menurut Farid, satu-satunya bentuk komunikasi yang masih kekal ialah dengan dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora, yang kini berada di bawah jagaan Diana.
“Tiada komunikasi sudah hampir setahun. Kami besarkan anak-anak dengan baik dan itu matlamat yang kami tumpu sekarang,” katanya ketika ditemui pada tayangan media filem Munajjim: Sekutu Iblis.
Farid menambah, kehadiran teknologi hari ini memudahkan dia untuk terus berhubung dengan anak-anak tanpa perlu bergantung kepada komunikasi dengan bekas isteri.
“Zaman sekarang, budak-budak ada telefon pintar sendiri. Muhammad dan Aurora masing-masing ada telefon, jadi tidak ada isu breakdown communication. Kami sekarang berada dalam dunia dan ruang masa yang berbeza,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya sama ada situasi sekarang menunjukkan dirinya sudah melupakan kisah lama atau ‘move on’, Farid mengakui dia kini lebih tenang dan bahagia.
“Saya akui sekarang lebih tenang dan bahagia. Saya beri fokus kepada diri sendiri. Sudah hampir setahun, kita move forward dengan hidup kita. Anak saya pun sudah sama tinggi dengan David Teo. Masa berubah dengan pantas dan no turning back,” luah pelakon filem Anwar The Untold Story.
Dalam pada itu, Farid enggan mengulas panjang mengenai kenyataan Diana dalam sebuah program podcast baru-baru ini, yang menyebut kehilangan ‘sahabat baik’ dalam rumah tangga adalah titik paling rendah dalam hidupnya.
“Saya tidak tahu nak komen apa. Tetapi, saya ada lagu, “Telah Aku Cuba Untuk Berikan Bunga… Itu sahaja,” ujar Farid ringkas.
Imbas kembali, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Mereka pertama kali bercerai menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, sebelum merujuk semula.
Namun, pasangan ini disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2024.