Selepas Tujuh Tahun Berumah Tangga, Nelydia Senrose Umum Hamil Anak Sulung

Pelakon, Nelydia Senrose, 31, berkongsi khabar gembira apabila kini hamil cahaya mata pertama.
Pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Nik Sen, mengumumkan berita tersebut menerusi satu video istimewa yang dimuat naik di Instagram bersempena ulang tahun perkahwinannya yang ketujuh bersama suami, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid.
“Tujuh tahun yang indah dengan mencintai antara satu sama lain kini telah menjadi satu denyutan jantung.
“Selamat ulang tahun perkahwinan ketujuh buat kita berdua,” tulisnya dalam kapsyen.
Dalam video sama, pelakon itu turut berkongsi imej imbas kandungannya, namun tidak mendedahkan usia kehamilan secara terperinci.
Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang turut mendoakan agar segala urusan kehamilan Nelydia dipermudahkan.
Imbas Kembali, Nelydia mendirikan rumah tangga dengan Hafez yang juga seorang ahli perniagaan pada 6 April 2019.



