‘Saya Tak Boleh Buat Kerja Berat, Pergerakan Jadi Lambat’

Pelakon, Nabila Huda, 42, mendedahkan pergerakannya kini menjadi terbatas selepas disahkan mengalami kecederaan tulang belakang, slip disc L5, baru-baru ini.
Menurut Nabila, keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu berdiri terlalu lama selain perlu memperlahankan setiap pergerakan harian bagi mengelakkan kesakitan bertambah teruk.
“Sekarang kalau penat ketika penggambaran, saya akan duduk atau baring sekejap dan tak boleh buat kerja berat-berat sangat.Pergerakan pun perlu lebih perlahan, bangun tidur sudah tak boleh secara mengejut. Kena tarik nafas dulu, baring mengiring, baru bangun.
“Pergerakan jadi lambat dan langkah demi langkah, sedangkan sebelum ini saya jenis buat semua benda cepat, bangun tidur terus nak masak dan turun tangga laju. Sekarang semua kena langkah demi langkah. Jadi, kalau nampak saya lambat lepas ini, maafkanlah dan fahamlah keadaan saya ini,” katanya.
Tambah anak kepada penyanyi lagenda rock, Datuk Amy Search, dia kini juga memerlukan bantuan orang lain untuk mengangkat barangan berat kerana bimbang kecederaan tersebut akan menjadi lebih serius.
Berkongsi lanjut, Nabila berkata masalah pada tulang belakang itu sebenarnya pernah dialami sebelum ini, namun dia memilih untuk tidak memberi perhatian sewajarnya kerana terlalu menumpukan fokus kepada kerjaya.
“Dahulu pernah ada kemalangan, ketika itu masih muda dan tidak ambil serius walaupun doktor kata ada sesuatu yang tak kena.
“Kemudian ketika sibuk dengan teater Masmona, tiba-tiba pinggang sangat sakit selepas bangun tidur, berdiri pun kena kaku sekejap sebelum boleh berjalan.
“Sangat risau sebab saya nak buat persembahan dan memilih untuk terus pergi hospital menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) untuk tahu keadaan sebenar,” katanya lagi.
Menurut Nabila, dia dijadualkan menjalani rawatan fisioterapi bermula minggu hadapan sebagai langkah pemulihan utama.
“Selepas ini saya kena lebih berdisiplin sebab tak nak bangun tidur dalam keadaan sakit.
“Sekarang alhamdulillah dah tak sakit macam sebelum ini sebab saya ada sapu krim dan doktor kata rawatan terbaik adalah dengan fisioterapi saja.
“Saya tak akan lakukan pembedahan sebab orang kata pembedahan ada risikonya. Doktor kata insya-Allah boleh sembuh dengan fisioterapi, cuma kena rajin,” ujarnya lagi.



