Respons Positif, Sharifah Shahirah Sertai Sinar

Kurang sebulan berada di konti Era, Sharifah Shahirah membuat kejutan apabila diumumkan sebagai penyampai baharu stesen Sinar FM bermula Isnin.

Kemunculan Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Shiera bergandingan bersama Falyq dan Hefny menerusi segmen Trio Petang Sinar mendapat respons luar biasa daripada peminat.

Bagi Pengurus Jenama Sinar, Zureen Affendi menganggap kehadiran personaliti berkenaan amat tepat dalam mengukuhkan stesen berkenaan ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebelum ni, Duo Sinar pernah bersama dengan Erra Fazira dan bagi impak positif kepada stesen. Jadi ia mengambil masa yang lama untuk mencari seseorang yang dapat memberikan impak yang sama.

“Shiera dah pernah tolak tawaran pertama namun pada hujung tahun lalu Kak Shiera terima dan ingin cuba angin baru,” kata Zureen dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Jelasnya lagi, pihaknya melihat pengalaman luar biasa Shiera dalam industri radio tanah air begitu luas dan percaya wanita tersebut mempunyai pengikut tersendiri.

Shiera juga mampu mengukuhkan jenama Sinar selain memberikan info-info terkini kepada pendengar setia stesen berkenaan.

“Antara lain kriteria kami memilih Shiera sebagai penyampai Trio Petang Sinar kerana mahu ada sentuhan wanita dalam segmen tersebut.

“Kami anggap penyertaan Shiera bersama Sinar merupakan perkhabaran gembira dan akan terus bekerja keras bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampai di Sinar,” katanya.

Selain berada di konti, bekas penyampai Suria FM ini juga akan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan stesen untuk meriah perhatian pengikut di media sosial.

Pihaknya yakin, personaliti yang dimiliki oleh Shiera mampu menarik lebih ramai pendengar baharu dan mengekalkan pendengar sedia ada ke peringkat yang lebih baik.

Related post

Leave a Reply