Masalah Kewangan, Keadaan Fizikal Bukan Punca Perceraian Faisal Halim & Isteri

Masalah Kewangan, Keadaan Fizikal Bukan Punca Perceraian Faisal Halim & Isteri

Kisah perceraian antara pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril menjadi bualan ramai, khususnya dalam kalangan netizen.

Pelbagai spekulasi timbul berkaitan perpisahan dua individu terbabit, antaranya, perceraian mereka berlaku disebabkan oleh masalah kewangan.

Bagaimanapun, peguam Syazwani, Roshdan Sujak Rafie menafikan dakwaan berkenaan. Roshdan berkata, mereka berpisah bukan disebabkan masalah kewangan dan keadaan fizikal Faisal yang tidak sama seperti dulu.

Sebaliknya, punca sebenar dipercayai akibat tiada persefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan lalu.

“Saya ada baca komen netizen mengatakan anak guam fail cerai kerana Faisal tiada duit dan sudah tidak handsome (kacak), semua ini tidak benar.

“Saya dimaklumkan mereka sudah tiada persefahaman,” katanya kepada Harian Metro.

Roshdan menambah, Syazwani kini berada dalam keadaan baik dan dalam masa sama bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan Faisal mempunyai ramai pengikut.

Kongsi Roshdan lagi, dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim di Mahkamah Rendah Syariah Klang, semalam, peguam Faisal memaklumkan pemain Selangor FC itu pernah melafazkan talak di luar mahkamah dan rujuk kembali sesama mereka.

“Anak guam saya memfailkan permohonan cerai, cuma dalam prosiding semalam peguam Faisal memberitahu anak guamnya pernah melafazkan cerai dan rujuk sesama mereka, jadi perlu ada pengesahan dan bicara terlebih dahulu untuk tentukan jumlah talak,” katanya.

Berkenaan dengan hak penjagaan anak tunggal mereka, Roshdan berkata, perkara itu tidak dibincangkan lagi berikutan mahu menyelesaikan terlebih dulu mengenai pengesahan lafaz luar mahkamah itu.

Sementara itu, peguam Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader turut mengesahkan punca perceraian kedua-duanya disebabkan tiada persefahaman.

“Ya, itu yang diberitahu sebab tiada persefahaman,” katanya.

Menurutnya, Faisal mendakwa pernah melafazkan cerai pada 15 Jun lalu dan rujuk kembali sehari kemudian.

“Mereka tidak mendaftarkan cerai dan rujuk itu, maka prosiding pengesahan lafaz talak luar mahkamah itu perlu dilakukan terlebih dulu,” katanya.

Dalam prosiding semalam, Mohd Hairuddin menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.

Related post

Leave a Reply