
Kaki Ibu Akan Dipotong, Ardell Aryan Tabah Teruskan Misi Kemanusiaan Ke Gaza
Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, 35, tetap tabah meneruskan misi bantuan ke Gaza meskipun diuji dengan perkhabaran mengenai ibunya, Sawiyah Abdullah, yang perlu menjalani pembedahan memotong kedua-dua kaki akibat komplikasi diabetes kronik.
Ardell mengakui berita itu amat berat untuk diterima, namun menyifatkan ujian yang ditanggungnya tidak sebanding dengan penderitaan rakyat Palestin yang berdepan penindasan sejak sekian lama.
“Saya sangat sedih Allah uji saya dengan keadaan emak. Ketika saya di tengah laut, doktor maklumkan kondisi emak saya sangat tidak baik.
“Itu ujian saya, tetapi ujian saudara kita di Gaza jauh lebih besar kerana melibatkan seluruh kehidupan mereka, bukan sekadar keluarga,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok.
Ardell merupakan antara 15 rakyat Malaysia termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Misi itu menghimpunkan 38 kapal dari seluruh dunia yang membawa bantuan ke Gaza.
Sejak berlepas dari Malaysia hujung bulan lalu, Ardell kerap berkongsi perkembangan perjalanan tersebut.
Rombongan GSF yang berlayar dari Sicily, Itali kini menuju ke perairan Mediterranean dan dijangka tiba di Gaza dalam tempoh 10 hari lagi.
Beberapa hari lalu, Ardell menzahirkan rasa syukur kerana berjaya melepasi semua peringkat saringan serta latihan wajib sepanjang pelayaran.
Namun begitu, aktres itu memaklumkan tidak dapat berkongsi perkembangan secara kerap kerana siaran langsung di media sosial hanya dibenarkan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa atas faktor keselamatan.