Isu Dipersenda, Ellie Suriaty Beri Tempoh Sehingga April ini Kepada Imran Bard
Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, 54, memberi tempoh sehingga April kepada pempengaruh, Imran Bard untuk membuat permohonan maaf secara berdepan susulan isu nama jadikan konten sehingga didakwa telah mencalarkan imejnya.
Tegas pemilik nama lengkap Ellie Suriaty Omar, sekiranya pempengaruh berusia 24 tahun itu enggan berbuat demikian, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut.
“Saya tidak akan berdiam tentang isu ini. Apa yang dia telah lakukan ada kaitan dengan masyarakat. Apabila nama pempengaruh, pasti akan pengaruh masyarakat untuk perkara buruk atau baik.
“Tetapi dalam isu sekarang ini, pengaruh yang diberikan lebih kepada buruk kerana saya terima banyak mesej yang menggelar saya sundal, rupa buruk, pelakon sendu dan pelbagai konotasi negatif lain.
“Sepatutnya dia jumpa saya sebelum bulan puasa. Tapi dia kata kini berada di kampung. Jadi saya bagi tempoh hingga Aidilfitri nanti untuk dia datang jumpa saya.
“Kalau dia berdegil juga, saya serahkan pada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan lanjut,” kata Ellie dalam sebuah sidang media, baru-baru ini.
Dalam pada itu, disoal mengenai kemungkinan bakal mengambil tindakan undang-undang, Ellie menjawab, maruahnya yang telah tercalar tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.
“Reputasi yang dibina selama ini tercalar disebabkan video yang dimuat naiknya itu. Selama tiga dekad saya bekerja keras untuk berada di kedudukan hari ini.
“Berapakah nilai diri yang hendak diletakkan? Takkanlah nilai saya RM200,000, RM500,000 ataupun RM1 juta? Saya adalah anugerah Allah.
“Saya berpegang pada janjinya untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya nak tengok tanggungajwab bagaimana yang dia nak ambil,” luahnya lagi.
Sebelum ini, Persatuan SENIMAN memandang serius isu yang di hadapi oleh ahlinya, Ellie Suriaty yang dipersendakan oleh pempengaruh media sosial, Imran Bard dalam video yang dimuat naik ke platform TikTok.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, pihaknya tidak berdiam diri dan sedang menjalankan kajian serta mendapatkan nasihat beberapa pihak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan terkait isu tersebut.