Harta RM300 Juta Jadi Rebutan, Anak Saman Bapa Serah Semua Kepada Isteri Muda

Satu pertikaian harta pusaka melibatkan aset bernilai jutaan dolar di Sanya, China, tercetus selepas seorang ahli perniagaan berusia 61 tahun, bermarga Hou, memutuskan untuk menyerahkan seluruh kekayaannya yang dianggarkan bernilai RMB300 juta (RM175 juta) kepada isteri baharunya yang 28 tahun lebih muda daripadanya.
Menurut laporan media China, keputusan itu menimbulkan kemarahan dua orang anak daripada perkahwinan terdahulu, yang menganggap tindakan tersebut tidak adil. Mereka kini telah memfailkan saman berhubung perkara itu.
Selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Hou berkahwin dengan isterinya sekarang, Liyuan, pada tahun 2016.
Pasangan itu juga mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Pada tahun 2025, Hou disahkan menghidap kanser tahap akhir selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan telah melalui lima kitaran kemoterapi.
Sepanjang tempoh itu, Liyuan sentiasa berada di sisinya, memberikan penjagaan sepenuh masa.
Media China melaporkan yang Liyuan sanggup menolak urusan sosial dan kerja demi menjaga suaminya, termasuk menyuapkan makanan, menguruskan keperluan harian, dan menemaninya ke temu janji perubatan.
Pengorbanan tersebut menyentuh hati Hou, sehingga dia membuat keputusan untuk memindahkan semua asetnya kepada Liyuan pada 18 Mac lalu.
Antara aset tersebut termasuk tiga vila tepi pantai di lokasi utama di Sanya, dua lot kedai, pegangan penuh dalam sebuah hotel resort, pegangan 27 peratus dalam syarikat kapal layar, serta simpanan bank berjumlah RMB47 juta (RM27.25 juta).
Hou kemudian memaklumkan kepada ahli keluarga yang keputusan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada Liyuan, selain untuk memastikan masa depan isterinya dan anak mereka terjamin.
Namun, keputusan tersebut menimbulkan kemarahan anak-anaknya daripada perkahwinan terdahulu.
Mereka dilaporkan bersemuka dengan Liyuan dan menuduh wanita itu sebagai perancang licik di media sosial.
Mereka juga mempersoalkan sama ada Hou berada dalam keadaan mental yang waras ketika menandatangani dokumen pemindahan aset, serta kemungkinan dia dipengaruhi atau dimanipulasi.
Anak-anaknya kini telah memfailkan kes di mahkamah, menuntut agar pemindahan tersebut dibatalkan dan harta dibahagikan semula.
Sebagai respon, Liyuan menegaskan dia menjaga suaminya dengan penuh keikhlasan dan tidak pernah meminta sebarang harta daripadanya. Dia juga berkata akan terus berada di sisi suaminya untuk menjaganya.
Laporan daripada Oriental Daily dan HK01 menyatakan kes ini menerima reaksi bercampur-campur daripada netizen.
Ada yang berpendapat tempoh perkahwinan selama 10 tahun serta kehadiran seorang anak membuktikan hubungan mereka adalah ikhlas, manakala ada juga yang sinis menyifatkan tindakan Liyuan sebagai pelaburan yang menguntungkan.
Sebahagian netizen lain pula berpendapat anak-anak tersebut tidak berhak mempertikaikan keputusan itu jika mereka sendiri tidak menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik.



