
Finas Ziarah Soffi Jikan Di Hospital, Hulur Sumbangan
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkesempatan menziarahi pelakon, Soffi Jikan yang kini dirawat di hospital.
Kunjungan itu diadakan menerusi inisiatif Ziarah Seni Madani Finas, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan insan seni yang banyak menyumbang kepada industri perfileman negara.
“Finas sentiasa memberi perhatian kepada nasib dan kebajikan penggiat seni.
“Soffi Jikan ialah pelakon versatil yang meninggalkan impak besar melalui lakonan dalam filem serta drama tempatan.
“Kami mendoakan dia segera sembuh dan kembali berkarya untuk industri,” kata Hans.
Dalam lawatan berkenaan, Finas turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, bakul makanan dan buah-buahan kepada Soffi serta keluarganya sebagai tanda sokongan moral.
Program Ziarah Seni Madani ini merupakan antara komitmen Finas dalam memperkukuh agenda Malaysia Madani, khususnya dari aspek kesejahteraan sosial dan kebajikan warga industri kreatif.
Usaha ini dijalankan dengan kerjasama beberapa organisasi strategik termasuk Yayasan Felda, Eco Marine Group of Companies, Koperasi Al-Najah (KL) Berhad, AHB Holdings dan Angkasaraya Holdings Berhad.
Terdahulu, Soffi dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak tiga minggu lalu akibat jangkitan kuman pada hati.
Bagaimanapun, pelakon filem KL Gangster 2 itu kini dipindahkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang bagi mendapatkan rawatan lanjut berkaitan masalah jantung.