Ferrari Klasik Diangkat Dengan Kren Masuk Rumah Belum Siap Bikin Netizen Hairan
Sebuah video yang tular di platform Threads mencetuskan rasa ingin tahu selepas ia memaparkan sebuah Ferrari merah diangkat menggunakan kren ke tingkat atas sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.
Daripada klip itu, penonton segera mengenal pasti kereta tersebut sebagai Ferrari Dino 308 GT4, model yang dikeluarkan pada era 1970-an hingga awal 1980-an, menjadikannya sebuah kereta klasik yang sangat bernilai dan diburu para pengumpul hari ini.
Menurut perkongsian itu, Ferrari tersebut dipercayai dipindahkan ke dalam rumah berkenaan untuk disimpan di dalam kediaman pemilik, walaupun tujuannya masih menjadi tanda tanya.
“Aktiviti orang kaya hari ini. Agak-agak apa pemilik nak buat dengan kereta dalam rumah?” tulis individu yang memuat naik video berkenaan.
Klip kedua yang dikongsi oleh halaman Instagram @jtcarsnet memberikan pandangan lebih dekat.
Video itu menunjukkan beberapa pekerja menolak Ferrari tersebut ke dalam sebuah unit di tingkat atas, mengesahkan bahawa kereta super klasik itu memang dipindahkan masuk ke bangunan tersebut.
Namun, sebab di sebalik tindakan luar biasa ini masih belum disahkan.
Spekulasi netizen merangkumi pameran peribadi, tempat simpanan jangka panjang atau dijadikan hiasan dalaman mewah sebagai ‘centerpiece’.
