
Fail Saman Fitnah RM5 Juta Terhadap Pasangan Pempengaruh, Fattah Amin Harap Jadi Pengajaran
Pelakon, Fattah Amin, 35, tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan pempengaruh yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan dirinya di media sosial.
Menurut pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin, tindakan itu dibuat selepas fitnah berkenaan bukan sahaja mencalar reputasi dirinya sebagai anak seni, tetapi turut melibatkan keluarga dan kerjayanya.
“Sebelum ini, saya tidak kisah dengan apa sahaja orang nak kata tentang diri saya. Tetapi apabila fitnah yang dilemparkan memberi kesan kepada keluarga, anak dan juga karier, saya terpaksa ambil langkah ini.
“Keputusan mahkamah yang diumumkan pada Khamis juga boleh dijadikan peringatan untuk orang ramai supaya lebih berhati-hati. Jangan sesekali menabur fitnah tanpa sebarang bukti,” katanya.
Fattah menegaskan, saman yang difailkan itu bukan hanya demi kepentingan dirinya semata-mata, tetapi juga sebagai mesej jelas bahawa budaya menyebarkan fitnah tidak boleh dibiarkan berleluasa.
“Fitnah tidak seharusnya menjadi amalan dalam masyarakat kita, apatah lagi di zaman media sosial yang semuanya mudah untuk dikongsi. Kalau ada perkara yang tidak baik, lebih baik diam, sebutlah perkara yang baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.
Aktor itu turut menegaskan ada cara lebih matang untuk menyelesaikan masalah jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya.
“Kalau ada perkara yang ingin dibangkitkan, boleh terus berhubung dengan pengurus saya atau dengan saya sendiri. Tidak perlu dihebahkan di media sosial. Cara itu lebih baik untuk semua pihak,” jelasnya.
Dalam masa sama, Fattah memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai tuntutan ganti rugi berjumlah RM5 juta kerana kes masih berjalan di mahkamah.
“Apa yang boleh saya katakan, semua yang dilakukan ini adalah mengikut prosedur undang-undang. Jadi saya tidak boleh komen lebih lanjut,” tambahnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pasangan pempengaruh media sosial, Nuraien Adilla Hasha atau Elcah dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.
Fattah memfailkan saman pada 26 Ogos lalu berhubung dakwaan curang ketika masih Bersama bekas isteri, Nur Fazura, selain menuntut permohonan maaf terbuka dan ganti rugi berjumlah RM5 juta.
Kes akan disambung semula pada 25 September ini.