Pelakon, Datuk Remy Ishak, 43, meluahkan rasa hairan apabila video memaparkan dirinya membantu mengurus anaknya, Tuah Alam menjadi tular dan meraih perhatian ramai.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, apa yang dikongsikan adalah sebahagian daripada rutin harian biasa sebagai seorang suami dan bapa, bukannya sesuatu yang luar biasa.
“Suami sekarang bukan macam itu ke? Saya tak suka baca komen. Tapi bila terbaca komen mengenai video itu, saya tanya isteri, kenapa video macam ini ramai sangat tengok?
“Saya pelik, sebab apa yang ditunjukkan dalam video itu hanyalah tanggungjawab biasa seorang suami. Jadi, kenapa boleh viral? Dunia dah berubah ke sampai lelaki tak buat semua kerja rumah?” katanya berseloroh.
Baru-baru ini, Remy memuat naik video di media sosial menunjukkan dirinya memandikan dan menyiapkan anaknya, disusuli aktiviti harian lain seperti mengemas rumah, bersenam dan menghantar Tuah ke pusat jagaan.
Perkongsian itu ternyata mendapat reaksi positif dan pujian warganet yang menyifatkan Remy sebagai bapa penyayang dan suami contoh kerana memudahkan urusan isterinya, Ezza Yusof.
Namun begitu, Remy menegaskan, segala yang dilakukan adalah ikhlas dan bukannya untuk dijadikan bahan kandungan semata-mata.
“Kalau kita tengok dari sudut positif, memang bagus kita kongsi video macam itu. Saya memang galakkan buat perkara baik dan sebarkan aura positif.
“Itulah guna pelakon terkenal, kita kena sampaikan mesej positif, ajak orang sama-sama buat baik.
“Tapi kalau ada yang anggap saya buat video itu semata-mata nak ‘content’ atau tular, itu bukan saya. Siapa yang ikut saya tahu, saya bukan jenis begitu,” jelasnya.
Remy turut mengakui sebahagian besar urusan penjagaan Tuah sebenarnya dilakukan oleh isterinya, manakala dia hanya membantu apabila tidak terikat dengan jadual kerja.
“Saya bantu mana yang saya mampu. Tapi sejujurnya, isteri saya yang paling banyak uruskan Tuah. Saya sangat hargai usaha dan pengorbanan dia,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Remy mendirikan rumah tangga bersama Ezza Yusof pada 21 Ogos 2021 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Tuah Alam.