Dituduh Jadi ‘Scammer’, Hamidah Wahab Buat Laporan Polis & Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang

Pelakon veteran, Hamidah Wahab, 69, tampil bersuara apabila namanya didakwa terbabit dalam satu penipuan melibatkan wang berjumlah RM100,000 yang disifatkan sebagai fitnah kejam dan menjatuhkan maruahnya.

Hamidah menyifatkan tuduhan sebagai ‘scammer’ itu sebagai satu tamparan besar kepada reputasi yang dijaganya selama lebih lima dekad.

“Memang terasa amat sangat sebab belum pernah seumur hidup saya, nama saya tercemar. Tuduhan ‘scammer’ bukan kecil, boleh dibawa ke mahkamah dan saya takkan berdiam diri,” katanya dalam satu sidang media khas baru-baru ini.

Hamidah menegaskan, tindakan saman malu dan saman fitnah akan diambil terhadap individu terbabit sekiranya tiada permohonan maaf secara terbuka dibuat.

“Saya mahu dia bersihkan nama saya, akui tuduhan itu palsu dan datang berjumpa kami sekeluarga untuk berterus terang. Kalau ikutkan hati, memang saya nak dedahkan wajah dia kepada umum,” luahnya penuh kecewa.

Tambah Hamidah, dua laporan polis telah dibuat dan segala bukti berkaitan tuduhan tersebut telah disimpan.

“Kalau betul saya tipu wang sebanyak itu, tunjukkan bukti sah seperti penyata bank. Dia ingat senang-senang bank akan luluskan jumlah sebesar itu tanpa dokumen lengkap?” ungkapnya lagi.

Hamidah turut mempersoalkan motif sebenar lelaki terbabit yang didakwa berbuat demikian didorong rasa dengki atau menjadi ‘kambing hitam’ pihak lain.

“Dia pernah cakap dia ada Datin, ada polis tolong dia. Tapi saya percaya pada undang-undang. Kalau salah tetap salah.

“Ramai yang hubungi saya minta penjelasan, dan tidak kurang juga yang terus percaya tuduhan itu.Selama ini saya jaga nama baik, tiba-tiba tercalar kerana fitnah ini,” kongsinya.

Tuduhan sama turut dilemparkan kepada adik perempuan Hamidah, Juriah Abd Hamid dan tiga anak saudaranya iaitu Muhammad Afique Ab Mahat, Dr Diyana Mahat dan Mardiah Ab Mahat.

Related post

Leave a Reply