
Buang Sampah Sembarangan? Mulai 2026 Boleh Dihukum Cuci Tandas & Longkang
Mulai 1 Januari 2026, rakyat Malaysia yang didapati bersalah atas kesalahan kecil membuang sampah merata atau melanggar undang-undang kebersihan awam boleh diarahkan menjalani hukuman khidmat masyarakat.
Menurut laporan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pesalah boleh diarahkan membersihkan tandas, menyental longkang atau mengutip sampah.
Hukuman itu akan dijalankan sehingga maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Bercakap kepada wartawan pada Majlis Pelancaran Kebangsaan Hari Pembersihan Malaysia sempena Hari Pembersihan Dunia 2025 di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Nga menjelaskan langkah ini bertujuan untuk mendidik, bukan menghukum pesalah.
“Ini adalah langkah pemulihan, bukan berbentuk hukuman. Pelaksanaan sama ada dalam satu hari penuh atau dibahagikan kepada beberapa sesi, contohnya tiga sesi empat jam akan ditentukan oleh Mahkamah Majistret,” katanya.
Nga turut menambah bahawa alasan tidak tahu mengenai penguatkuasaan baharu ini tidak lagi diterima kerana rakyat telah diberi masa yang cukup untuk bersedia dan pelbagai pengumuman sudah dibuat.
Beliau turut memberi contoh negara seperti Korea, Jepun, Sweden dan Singapura yang berjaya melaksanakan undang-undang mewajibkan pesalah kebersihan menjalani khidmat masyarakat.
“Mereka sudah membuktikan keberkesanan pendekatan ini. Tidak ada lagi alasan. Rakyat Malaysia sudah bersekolah bertahun-tahun tetapi masih gagal menjaga kebersihan. Kalau ada kemahuan, pasti ada jalan,” katanya.
Pengumuman Nga ini dibuat selepas Dewan Negara meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2025 pada 8 September lalu.