ASEAN Film & TV Summit 2025 Labuh Tirai

ASEAN Film & TV Summit 2025 Labuh Tirai

Sidang Kemuncak ASEAN Film & TV Summit 2025 2.0 melabuhkan tirainya selepas tiga hari penganjuran yang sarat dengan sesi perbincangan serta jaringan profesional melibatkan penerbit, pengarah, pemimpin belia dan pengamal media dari seluruh rantau ASEAN.

Program anjuran bersama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan sokongan strategik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu bertujuan memperkukuh kerjasama serantau, menggalakkan penerbitan bersama (co-production), serta meletakkan Asia Tenggara sebagai hab kreatif bertaraf dunia.

Sidang kemuncak tersebut menarik penyertaan lebih 300 peserta dari 10 negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja, Filipina dan Singapura. 

Sepanjang tiga hari penganjuran, para delegasi menyertai sesi perbincangan panel, bengkel filem serta aktiviti jaringan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang mengupas pelbagai tema seperti “Doing Co-Productions Across Borders”, “Digital Storytelling for Regional Impact” dan “Creative Freedom in ASEAN Storytelling”.

Antara acara kemuncak ialah Majlis Makan Malam Gala yang berlangsung pada Rabu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac. 

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosly dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Menurut Teo Nie Ching, beliau merakamkan penghargaan kepada FINAS, PTVM dan MBM atas inisiatif menganjurkan majlis makan malam gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN Film & TV Summit 2.0.

“Acara ini bukan sekadar meraikan kreativiti, tetapi juga mengiktiraf kekuatan budaya dan semangat perpaduan ASEAN yang mampu menyatukan masyarakat melalui seni dan karya kreatif.

“Sidang kali ini memberi tumpuan kepada penyertaan bakat muda dan penggiat televisyen di seluruh rantau ASEAN. Saya turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, sekali gus menyeru agar semua pihak terus bekerjasama membangunkan industri kreatif ASEAN yang progresif dan berdaya saing di peringkat global.

“Marilah kita terus berganding bahu membina industri kreatif ASEAN yang bersatu dan mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.

Antara sebahagian tetamu yang hadir sempena mala gala ASEAN Film & TV Summit pada Rabu.

Majlis tersebut turut menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbitan Bersama Antarabangsa antara syarikat produksi dari negara-negara ASEAN sebagai simbol kerjasama rentas sempadan dan pembangunan projek filem.

Turut disampaikan Anugerah MBM Film Lab dan Pertandingan TikTok, termasuk pengiktirafan kepada sesi ‘pitching’ terbaik oleh bakat muda kreatif selain Deklarasi Belia Kreatif ASEAN yang melambangkan komitmen kolektif generasi baharu terhadap integriti kreatif, keterangkuman dan kepelbagaian budaya.

Menambah momentum sidang kemuncak ini, TikTok Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan FINAS dan Belia Kreatif MADANI bagi menyokong ekspresi kreatif belia serta penceritaan digital di seluruh ASEAN.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, TikTok menyalurkan sokongan dalam bentuk kredit iklan bernilai USD20,000 kepada akaun rasmi TikTok FINAS bagi memperluas capaian kempen kreatif berasaskan belia, kandungan promosi filem dan inisiatif budaya ASEAN.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan TikTok dalam memperkasakan komuniti kreatif melalui inovasi digital, sekali gus memperluas jangkauan cerita-cerita Malaysia dan ASEAN ke peringkat global.

Related post

Leave a Reply