Andi Bernadee Berdebar Tunggu Reaksi Pendengar
SEIRING dengan penghijrahan ke syarikat rakaman Universal Music Malaysia, penyanyi Andi Bernadee, 33, akhirnya muncul dengan naskhah Inikan Hari Raya menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Lagu yang menggabungkan elemen moden dan tradisional ini memberi kelainan serta menyemarakkan lagi suasana perayaan dengan irama yang catchy dan menghiburkan.
Mendapat sentuhan Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K selaku komposer, lagu ini turut mendapat sentuhan lirik nukilan Andi Bernadee sendiri bersama Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Omar K juga.
Menurut Andi, proses rakaman lagu ini melibatkan dua kali sesi di studio. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk merasai ‘feel lagu tersebut.
“Dari situ, saya dan komposer berbincang tentang muzik, adunan, dan lirik yang sesuai. Hanya selepas itu, kami melakukan rakaman kali kedua dengan segala keputusan yang telah dipersetujui,” jelasnya.
Mengharapkan sambutan baik dan maklum balas positif daripada pendengar, Andi menganggap ini merupakan percubaan berani menghasilkan lagu raya sendiri.
“Saya ingin semua pendengar untuk mendengar, layan, nikmati dan hayati lagu ini. Selain daripada suasana ceria hari raya, lagu ini juga mengandungi unsur nasihat.

Ia menggambarkan suasana sebuah keluarga yang pulang ke kampung halaman, serta pelbagai peristiwa yang terjadi dalam persiapan dan sambutan hari raya. Situasi ini pasti berlaku di mana-mana dan saya percaya ia dapat dirasai oleh semua orang,” ujarnya.
Berkongsi tentang pengalamannya bekerja dengan individu lain dalam menghasilkan lagu ini, Andi menyatakan beliau sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
“Bagi saya, perkara ini sudah menjadi biasa. Saya lebih suka bekerja dengan mereka yang suka berbincang, berkongsi idea, dan menerima idea-idea dari saya atau pasukan saya. Kolaborasi yang baik akan menghasilkan karya yang lebih sempurna dan berkualiti,” tambahnya lagi.
Andi berharap lagu Inikan Hari Raya dapat memberikan hiburan kepada para pendengar terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
“Saya berharap lagu ini dapat menghiburkan semua pendengar dan memberi sedikit keceriaan dalam meraikan Aidilfitri,” katanya penuh harapan.
Inikan Hari Raya sudah dilancarkan pada 28 Februari lalu disemua pelantar digital manakala video muzik (MV) pula boleh ditonton melalui YouTube saluran Andi Bernadee.