“Ada Pengarah Tegur Saya Kata Sudah Gemuk” – Alya Iman
PELAKON Alya Iman, 24, memberitahu ramai yang mula menegur mengenai perubahan fizikalnya yang dikatakan semakin berisi berbanding sebelum ini.
Mahu menjaga kesihatan mental dan emosi, pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil, mengambil pendekatan untuk tidak melayan semua kata-kata negatif yang dilemparkan terhadapnya.
“Ramai yang kecam dan bercakap fasal badan yang dilihat sudah semakin berat, ada yang kata saya semakin berisi. Malah, ada pengarah yang tegur saya kata sudah gemuk.
“Saya tahu, sebagai pelakon, penampilan perlu dititikberatkan kerana pelakon dianggap sebagai satu karya seni yang perlu dipamerkan kepada masyarakat.
“Pun begitu, saya selalu pesan pada diri sendiri bahawa saya juga manusia biasa. Apa yang penting adalah menjaga kesihatan mental,” katanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Alya turut berkongsi peristiwa dia diserang kemurungan sehingga membuat dirinya hilang arah dan tidak keluar dari rumah selama lima bulan.
“Saya seperti hilang diri saya yang lama, tahun lalu saya mengalami tekanan dan kemurungan. Perkara ini terjadi selepas kawan baik saya meninggal dunia.
“Disebabkan masalah itu, saya tak mahu keluar rumah, tak boleh bekerja selama lima bulan. Jadi tahun ini saya mahu kembali aktif semula.
“Kalau sebelum ini saya akan ambil berat jika ada perkara negatif berlaku pada diri sendiri dan orang sekeliling, tapi tahun ini saya akan buat tak tahu dan tak akan masuk campur sebab tak mahu serabutkan fikiran.
Mungkin kedengaran seperti pentingkan diri sendiri, namun pada pada pertengahan usia 20-an ini, saya mula belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri,” kongsi Alya lagi.