Pilih SJKC, Syafiqah Aina Mahu Anak Lebih Disiplin, Kuasai Bahasa Mandarin & Daya Berdikari Sejak Kecil

Pempengaruh popular dan usahawan kosmetik, Syafiqah Aina, baru-baru ini berkongsi sebab mengapa dia memilih untuk menghantar anaknya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Menurut Aina, sekolah SJKC menawarkan disiplin yang lebih baik serta mendidik kanak-kanak supaya berdikari sejak usia muda.
Dalam satu hantaran Instastory, Aina menjelaskan yang dia sudah lama merancang untuk menghantar anak-anaknya ke SJKC kerana kelebihan dari segi penguasaan bahasa tambahan serta asas akademik yang kukuh.
Tambahnya, kefasihan dalam bahasa Mandarin boleh membuka lebih banyak peluang kerjaya pada masa depan.
Menurut Aina, kanak-kanak kecil lebih cepat menyerap ilmu. Oleh itu, memulakan persekolahan dalam persekitaran pelbagai bahasa sejak awal merupakan cara terbaik untuk membina asas yang kukuh.
“Bila budak masih kecil, lebih senang untuk mereka belajar bahasa. Berbanding belajar bahasa ketiga apabila sudah besar, cara ini lebih mudah untuk mereka serap,” katanya.
Aina turut berpendapat SJKC menerapkan tahap disiplin yang lebih tinggi berbanding sekolah lain. Selain itu, murid-murid juga dididik untuk berdikari sejak awal persekolahan.
Katanya, ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah pada hari-hari awal persekolahan, dan pelajar perlu mencari kelas serta mengurus diri sendiri.
“Memang rasa sedikit sedih pada awalnya, tapi saya faham sebabnya. Ia untuk ajar anak-anak urus diri sendiri, seperti cari kelas dan makan sendiri,” katanya lagi.
Walaupun anaknya bersekolah di SJKC, Aina menegaskan yang bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utama di rumah. Dia juga melihat perubahan positif dalam keupayaan anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris hasil persekitaran sekolah yang berbilang bahasa.
Selain itu, keputusannya turut dipengaruhi oleh pengalaman ahli keluarga, kerana ibunya dan beberapa orang sepupu anaknya juga pernah bersekolah di SJKC.
Dalam masa sama, dia tidak bercadang untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah swasta atau antarabangsa, sebaliknya mahu mereka melalui sistem sekolah kerajaan seperti yang dilaluinya bersama suami.
“Orang kata sekolah kerajaan ada lebih banyak peluang dan aktiviti. Harapnya anak saya boleh bertahan dan menikmatinya,” katanya.



