Gaya HidupLakon LayarViral

Que Haidar Temui Ketenangan Di Kuala Pilah

Pelakon Que Haidar, 46, mengakui rindu untuk pulang ke rumah selepas lebih tiga bulan tidak mempunyai masa cuti susulan jadual kerja yang padat.

Pemilik nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, berkata dia kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bersama keluarga kakaknya dan sedang terlibat dengan penggambaran drama bersiri Pak Su Ammara yang menuntut komitmen penuh.

“Tempat tinggal saya bukan di Kuala Lumpur, jadi saya rindu rumah dan katil sendiri. Sudah lebih tiga bulan saya tak balik sebab memang tiada cuti langsung,” katanya.

Menurut Que, hampir setiap hari diisi dengan penggambaran, manakala waktu terluang pula digunakan untuk sesi latihan drama serta komitmen lain termasuk sebagai duta produk. Namun, dia bersyukur kerana menganggap semua itu sebagai rezeki yang dikurniakan Tuhan.

“Saya bukan merungut, ini semua rezeki daripada Allah dan saya bersyukur. Cuma, kadang-kadang terfikir juga bila saya boleh bercuti. Dapat satu atau dua malam tidur di bilik sendiri pun sudah cukup buat saya gembira,” ujarnya.

Que menjelaskan, keputusan untuk tinggal jauh dari ibu kota dibuat kerana mahukan ketenangan. Pada awalnya, dia hanya merancang menetap di Kuala Pilah selama empat hingga enam bulan untuk berehat, namun akhirnya jatuh hati dengan suasana di sana.

“Mula-mula fikir nak duduk sekejap saja, tapi lama-lama rasa seronok pula. Pagi-pagi bangun ditemani bunyi burung di luar bilik, rasa tenang sangat,” katanya lagi.

Tambah Que, lokasi Kuala Pilah juga strategik kerana berada di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Melaka, memudahkan pergerakannya terutama kerana dia turut mengusahakan kilang sambal di Melaka.

“Hendak ke Kuala Lumpur ambil masa sejam setengah, ke Melaka pun sama. Tapi kebelakangan ini memang langsung tak sempat nak balik ke mana-mana,” katanya.

Dalam pada itu, Que mendedahkan dia kini merancang untuk membina sebuah rumah kecil di belakang rumah arwah ibunya di Kulai, Johor sebagai tempat untuk berehat dan menenangkan fikiran.

“Tanah di belakang rumah arwah emak agak luas dan adik saya sedang uruskan kolam ikan sebagai projek keluarga. Saya terfikir nak bina ‘tiny house’ di situ untuk ‘healing’.

“Saya suka berkhemah, nak bela ayam dan itik, melukis dan bawa anak-anak lari sekejap daripada kesibukan bandar,” jelasnya.

Untuk rekod, Que pernah mendirikan rumah tangga bersama Linda Jasmine pada 14 Februari 2009, namun bercerai talak satu pada 2 Julai 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Ratu Haidar, 16, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button