Wanita India Kahwini Mayat Teman Lelaki, Tuduh Keluarga Lakukan Pembunuhan Demi Maruah

Wanita India Kahwini Mayat Teman Lelaki, Tuduh Keluarga Lakukan Pembunuhan Demi Maruah

Seorang wanita di India yang mengahwini mayat teman lelakinya menuduh keluarganya melakukan pembunuhan demi maruah (honour killing).

Menurut laporan News18, ketika persiapan upacara terakhir teman lelakinya sedang dijalankan, wanita itu tiba di rumah si mati. Wanita tersebut, Aanchal Mamidwar, kemudian mengumumkan niatnya untuk berkahwin dengan teman lelakinya, Saksham Tate, walaupun lelaki itu telah meninggal dunia.

Aanchal melakukan ritual perkahwinan simbolik dengan mengoleskan kunyit dan sindoor pada tubuh Saksham.

Pada waktu kematian Saksham, pasangan itu merancang untuk berkahwin dalam masa sebulan dan telah pun memulakan persiapan secara tidak formal. Aanchal turut bercakap tentang kematiannya dalam sebuah video yang dimuat naik dalam talian.

Insiden ini berlaku selepas satu konfrontasi pada 27 November ketika Saksham, 25, berada bersama rakan-rakannya. Menurut The Times of India, polis berkata Saksham didakwa diserang oleh abang-abang Aanchal iaitu Himesh dan Sahil Mamidwar serta bapanya, Ganesh (atau Gajanan) Mamidwar serta tiga individu lain.

Mereka dikatakan melepaskan tembakan ke arahnya dan menghentak kepalanya dengan bongkah batu sehingga membunuhnya di tempat kejadian. Sebelum kejadian, Aanchal dan Saksham telah menjalin hubungan selama tiga tahun.

Media turut melaporkan, Saksham berada dalam keadaan jaminan selepas dibebaskan daripada penjara sebelum kematiannya. Sumber polis menyatakan kedua-dua Saksham dan Himesh mempunyai rekod jenayah.

Keluarga Aanchal mengenali Saksham kerana dia merupakan rakan rapat abangnya, Himesh.
Namun, keluarga Aanchal sangat menentang hubungan tersebut. Hal ini kerana, kedua-dua keluarga berasal daripada agama yang berbeza, menurut Times of India.

Selain itu, Aanchal menuduh keluarganya merancang pembunuhan Saksham sejak awal.

“Keluarga saya tidak pernah bersetuju kerana isu kasta. Mereka kata dia mesti masuk Hindu, dan dia pun setuju. Tapi mereka hanya mahu peluang untuk membunuhnya.

“Bapa saya selalu suruh saya hentikan hubungan ini kerana dia seorang penganut Buddha. Dia malah tawarkan saya untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki lain pilihan saya, tetapi bukan Saksham.

Mereka membunuhnya dengan kejam, tapi mereka kalah. Kekasih saya menang, walaupun dalam kematian,” katanya kepada sebuah agensi media.

Aanchal juga berkata dia mahu bapa dan abang-abangnya dihukum gantung. Difahamkan, dia telah memutuskan semua hubungan dengan keluarganya dan akan tinggal bersama ibu Saksham secara tetap.

“Mereka tak boleh pisahkan kami lagi,” katanya.

Selepas kematian Saksham, polis telah mendakwa enam individu. Mereka didakwa di bawah seksyen berkaitan pembunuhan, perhimpunan haram, rusuhan, Bharatiya Nyaya Sanhita (kanun jenayah baharu India), Akta SC/ST (Pencegahan Kekejaman), serta Akta Senjata.

Related post

Leave a Reply