“Ada Kod Pemakaian, Tak Selesa Pakai Ketat”

“Ada Kod Pemakaian, Tak Selesa Pakai Ketat”

Pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz, 34, menegaskan kumpulan De Fam sememangnya mempunyai garis panduan pemakaian mereka sendiri, terutama kerana salah seorang anggotanya, Cik Manggis, cukup menjaga batas dalam setiap penampilan.

Menurut pemilik nama penuh Azira Shafinaz Ramlan, adalah tidak wajar untuk menyamakan De Fam dengan kumpulan lain seperti Dolla memandangkan kedua-duanya memiliki identiti, genre muzik dan pendekatan persembahan yang berbeza.

“Sejak dulu De Fam sudah ada kod pemakaian kami sendiri. Cik Manggis memang jenis yang tak selesa pakai baju ketat atau mencolok mata.

“Kami sentiasa cuba menjaga penampilan. Kalau ada yang tanya kenapa De Fam boleh tapi orang lain tak boleh, saya rasa ia tak patut dijadikan isu.

“Masing-masing ada cara dan hala tuju sendiri. Identiti serta genre Dolla pun sangat berbeza dengan kami. Soal pemakaian ini sensitif, jadi saya tak mahu ulas lebih.

“Cuma bagi saya, kalau ada teguran, kita terima dan patuhi sebab ia untuk kebaikan dan kelangsungan kerjaya,” katanya.

Mengimbas perjalanan awal De Fam dalam industri, Azira mengakui mereka juga pernah berdepan kecaman termasuk dakwaan mengatakan kumpulan itu hanya bergantung pada tarian semata-mata.

“Semua orang melalui proses yang berbeza. Dulu waktu kami baru bermula pun ada yang kata De Fam hanya tahu menari. Banyak juga tomahan yang kami terima, tapi kami ambil sebagai motivasi untuk perbaiki diri.

“Sebab itu saya percaya, kadang-kadang teguran itu sebenarnya baik untuk kita. Kita tunjukkan yang kita boleh buat lebih baik,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai isu pemakaian yang kini melibatkan Dolla, Azira menekankan walaupun setiap individu berhak memilih pakaian mengikut citarasa masing-masing, dirinya tetap menjaga batas dalam penampilan.

“Sudah tentu saya sentiasa berhati-hati dengan apa yang saya pakai. Tapi setiap orang ada identiti dan selera masing-masing. Saya sendiri tak suka mendedahkan diri secara berlebihan. Bagi pihak orang lain, saya tak boleh komen sebab itu hal mereka.

“Dari dulu lagi De Fam memang berpakaian sedondon atau mengikut konsep yang sama. Itulah cara kami membawa diri,” katanya lagi.

Azira turut menyifatkan kontroversi yang melanda Dolla kini sebagai satu peringatan kepada semua artis untuk lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat, namun dalam masa sama mendoakan kumpulan itu kuat mengharungi cabaran.

“Isu ini bukan hanya untuk Dolla, tapi untuk semua. Kita sebagai Muslim tahu batas pemakaian dan apa yang lebih elok dijaga. Yang penting ambil teguran itu dan cuba perbaiki,” tambahnya.

Sebelum ini, nama Dolla mendapat perhatian selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur penampilan seksi beberapa anggotanya dalam muzik video terbaharu bertajuk Question, sehingga turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan pihaknya sedang menilai keperluan tindakan syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian terlalu mencolok mata.

Related post

Leave a Reply