Guru Sedih Lihat Pelajar Dapat Kosong Dalam Peperiksaan RBT

Guru Sedih Lihat Pelajar Dapat Kosong Dalam Peperiksaan RBT

Sudah menjadi lumrah seorang guru, melihat pelajar berjaya adalah antara kegembiraan terbesar dalam hidup.

Mereka mencurahkan hati, masa dan usaha dalam pengajaran, berharap setiap ilmu yang disampaikan dapat membentuk masa depan yang lebih baik bagi generasi muda. Namun tidak semua cerita berakhir dengan kegembiraan.

Baru-baru ini, sebuah hantaran menyentuh hati di Threads menjadi tular apabila seorang guru berkongsi realiti menyakitkan ketika memeriksa kertas peperiksaan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) pelajarnya, di mana sesetengah pelajar memperoleh sifar.

Dalam hantaran tersebut, guru berkenaan meluahkan kekecewaan mendalam apabila mendapati beberapa pelajar bukan sahaja menjawab dengan tidak betul, malah membiarkan helaian soalan kosong.

“Kekecewaan seorang guru. Hampir setahun pembelajaran dan ini hasilnya. Saya tak tahu di mana silapnya. Saya rasa saya mengajar seperti biasa, beri kerja latih tubi, push mereka di hujung.

“Namun, ini yang kami dapat. Mungkin usaha pengajaran kami masih belum cukup,” tulisnya.

Guru itu menjelaskan, walaupun soalan peperiksaan bersifat subjektif dan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza, beliau sudah memberikan petunjuk, bahan bantu mengajar (BBM) dan nota untuk membantu pelajar membuat persediaan.

Namun, sebahagian helaian jawapan kelihatan seolah-olah pelajar itu tidak pernah mempelajari subjek tersebut langsung.

“Banyak ibu bapa yang bagus, mereka membimbing dan memantau kerja anak. Tapi ada juga yang tidak. Ia daripada pelbagai latar belakang.

“Ada yang sibuk bekerja 24/7. Tapi selagi kita mampu sebagai ibu bapa, kita cuba sedaya upaya,” katanya lagi.

Apa yang benar-benar meruntun hati beliau ialah pelajar yang langsung tidak ambil peduli. Mereka yang mengabaikan nasihat berulang kali, menghantar kerja rumah sambil lewa, atau menganggap sekolah sebagai tempat bermain.

“Nasihat berulang tak berkesan, kerja rumah dibuat sambil lewa, dan ada yang datang sekolah hanya untuk bermain,” rungutnya.

Begitupun, guru itu berkongsi contoh pelajar yang berusaha sebaik mungkin, menunjukkan bahawa sentiasa ada insan cemerlang dalam kalangan mereka.

Hantaran itu menyentuh ramai, terutamanya rakan guru yang sangat memahami pengalaman tersebut. Ruangan komen dipenuhi dengan empati dan realisme, mencerminkan cabaran sistem pendidikan masa kini.

Beberapa reaksi pembaca:

“Bukan salah guru. Budak sekarang agak sesat, bukan semua, tapi ramai. Mereka datang sekolah tanpa tujuan.”

“Teruskan, cikgu. Saya dah mengajar 20 tahun, dari sekolah rendah sampai kelas dewasa. Akan jumpa pelbagai jenis pelajar.”

“Mereka belajar, tahu, tapi tak faham cara aplikasi. Cikgu dah beri usaha penuh, tapi pelajar pelbagai ragam.”

“Jangan give up, cikgu. Teruskan. Kadang-kadang pelajar ini hadapi isu yang kita tak nampak.”

“Kalau anak saya, saya rotan! Ingat sekolah ni lawak ke?”

Related post

Leave a Reply