
Diperdaya ‘Bomoh’, Ibu Tunggal Rugi RM103k, Siap Hantar Video Lucah Kononnya Untuk Ritual Penyembuhan Rawatan
Seorang ibu tunggal dari Terengganu berdepan kekecewaan besar selepas menjadi mangsa seorang individu yang menyamar sebagai ‘bomoh’.
Wanita itu diperdaya kononnya terkena sihir dan dipaksa menyerahkan wang tunai berjumlah RM103,000, barang kemas emas serta video lucah sebagai sebahagian daripada upacara rawatan tradisional.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa berusia 51 tahun bekerja sebagai tukang jahit dan mempunyai tiga orang anak.
Dia berkenalan dengan suspek melalui aplikasi janji temu sebelum meneruskan perbualan di Telegram.
Suspek mendakwa mangsa disihir dan menawarkan “rawatan”. Dia mengarahkan wanita itu memegang sebiji telur dan sedikit garam di dalam bilik sebagai langkah permulaan ritual tersebut.
Akibat rasa takut dan percaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian menunjukkan barang kemas emas miliknya.
Pada 3 September lalu, mangsa menjual empat gelang emas bernilai RM71,350 sebelum diarahkan meninggalkan wang tunai bersama seutas rantai emas seberat 80 gram di bawah sebatang pokok berhampiran longkang di Bukit Serok, Kota Bahagia.
‘Bomoh’ itu memberitahu wang tersebut akan “muncul semula” dalam beberapa hari atau minggu jika arahannya dipatuhi.
Namun penipuan tidak berhenti di situ.
Mangsa turut diarahkan menghantar rakaman video hubungan seks, aksi melancap, gambar bogel, serta sampel air mani lelaki sebagai sebahagian daripada ritual.
Pada 4 September jam 5.30 pagi, mangsa menghantar bahan-bahan tersebut dengan harapan dapat menghilangkan sihir yang kononnya dialami.
Namun, keesokan paginya ketika beliau kembali ke lokasi wang dan barang kemas ditinggalkan, semuanya telah lesap.
Merasa tertipu, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Kota Bahagia. Polis mengesahkan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM103,000. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Ini jelas satu kes penipuan bomoh,” kata pihak polis.