
Kakak Yang Sakit, Tapi Mak Minta MC Untuk Adiknya Sekali
Kita sering mendengar orang yang tidak sihat pergi mendapatkan rawatan dan menerima sijil cuti sakit kerana tidak mampu untuk meneruskan kerja di pejabat atau institusi pengajian seperti sekolah atau universiti.
Namun, ada segelintir individu didakwa menyalahgunakan sijil cuti sakit dengan pergi ke klinik untuk mendapatkan sijil cuti sakit berkenaan walaupun tanpa sebab kesihatan yang sah.
Baru-baru ini, seorang doktor yang dikenali sebagai Syafinaz berkongsi pengalamannya di Threads selepas berdepan situasi pelik dan mengecewakan di kliniknya.
Menurutnya, seorang pelajar sekolah menengah hadir untuk mendapatkan rawatan selepas menunjukkan simptom jangkitan saluran pernafasan atas (URTI). Selepas pemeriksaan, jelas pelajar itu tidak sesuai hadir ke sekolah, lalu doktor mengeluarkan MC dua hari untuknya berehat.
Namun keadaan menjadi janggal apabila ibu pelajar itu meminta MC dua hari yang sama untuk adik lelaki pesakit, yang turut hadir tetapi sebenarnya sihat.

“Doktor, tolong bagi MC dua hari juga untuk adiknya. Dia pun tak nak pergi sekolah,” kata ibu bapa tersebut.
Terkejut dengan permintaan itu, Syafinaz menjelaskan bahawa MC ialah dokumen sah yang hanya boleh diberikan kepada individu yang benar-benar tidak sihat.
Namun, budak lelaki itu dikatakan mengamuk kerana MC ditolak. Dia menendang kerusi serta mainan di bilik rawatan, sambil merungut tidak adil kerana kakaknya dapat duduk di rumah sedangkan dia perlu ke sekolah.
Lebih mengecewakan, kata Syafinaz, ibu bapa kanak-kanak itu tidak menenangkan anak mereka, sebaliknya menyalahkan doktor.
“Saya dah jelaskan bahawa MC ialah dokumen sah, tetapi ibu bapa dan anak itu tetap tak mahu faham. Budak itu terus menangis, pukul kakaknya, sambil merungut tak adil,” jelasnya.
Kekecohan itu berlanjutan hingga ibu bapa terbabit meninggalkan ulasan negatif di Google, menuduhnya sebagai doktor “teruk” kerana enggan mengeluarkan MC.
Kisah itu pantas tular dan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, yang rata-ratanya mengkritik sikap ibu bapa tersebut.