Syafiq Kyle Terima Anugerah Rising Icon Di Festival Filem Asia-Pasifik

Pelakon, Syafiq Kyle, 33, dipilih sebagai penerima Anugerah Rising Icon sempena Festival Filem Asia-Pasifik (APFF) ke-62 yang bakal berlangsung dari 29 November hingga 6 Disember depan.

Pemilik nama lengkap Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia terharu dengan pengiktirafan tersebut dan mengesahkan akan hadir ke acara berprestij itu.

“Saya sangat bersyukur atas peluang mewakili Malaysia di pentas serantau ini dan tidak sabar untuk bersama anda semua pada malam anugerah nanti,” katanya dalam satu mesej video.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media dan pelancaran APFF62, walau bagaimanapun, Syafiq tidak dapat menghadiri majlis tersebut.

Acara berkenaan turut dihadiri Pengerusi Penganjur, Aron Koh, Setiausaha Agung FPA, Pansha, serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia, Datuk Mahyiddin Mustakim.

Menurut Pansha, pengiktirafan Rising Icon diperkenalkan buat julung kalinya pada edisi tahun ini dan Syafiq dipilih kerana pencapaian membanggakan sepanjang kerjayanya.

“Pemilihan dibuat secara sepakat oleh jawatankuasa penganjur kerana Syafiq adalah bintang yang terus menyinar dan kini cukup popular.

“Anugerah ini juga untuk memberi penghormatan kepada pelakon muda berbakat, bukan hanya kepada pelakon veteran,” jelasnya.

Bagi edisi 2025, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi acara kemuncak festival. Lebih istimewa, tayangan filem yang bertanding akan diadakan di GSC Cinemas, selaku Rakan Pawagam Rasmi.

Menariknya, pemenang Oscar, Peter Pau akan mengetuai barisan juri menilai karya yang dipertandingkan. Pengarah ikonik dari Hong Kong itu terkenal menerusi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Related post

Leave a Reply