“Enam Bulan Pertama, Rasa Nak Buka Tudung”

Pelakon, Amyra Rosli, 35, berkongsi perjalanan hijrahnya, khususnya pengalaman sewaktu mula-mula mengambil keputusan untuk bertudung.

Menurut Amyra, proses untuk kekal istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan memerlukan masa, kekuatan dalaman serta sokongan orang sekeliling untuk terus bertahan.

“Daripada seorang yang freehair kepada yang ingin bertudung memang agak sukar pada mulanya. Macam saya, awal-awal bertudung, ambil masa enam bulan untuk biasakan diri. Pernah juga dalam tempoh itu rasa nak buka tudung,” jelas Amyra.

Tambah ibu kepada dua anak itu, sokongan suami tercinta, Amar Baharin dan keluarga memainkan peranan penting dalam membantu dirinya terus kekal dengan keputusan berhijab.

“Saya bersyukur dikelilingi dengan suami dan keluarga yang sangat menyokong. Ada juga kawan-kawan cakap kalau saya buka tudung, akan cetuskan kontroversi kerana saya selebriti. Tapi saya tahu, bertudung itu adalah satu kewajipan untuk wanita Muslim,” katanya seperti dilaporkan OhBulan!.

Antara cabaran awal yang dihadapi Amyra ialah perasaan kurang yakin dengan penampilan diri, lebih-lebih lagi dalam soal penyesuaian gaya bertudung sebagai selebriti.

“Enam bulan pertama saya pakai tudung tu, macam-macam saya fikir. Saya rasa macam huduhnya pakai tudung, tak pandai nak ‘mix and match’ dengan baju dan sebagainya. Tapi saya terus berdoa dan cari apa yang saya mahukan dalam hidup,” ujarnya lagi.

Amyra turut berkongsi antara usaha yang dilakukannya untuk kekal istiqamah adalah dengan menghadiri kelas agama dan menyertai usrah.

“Cara saya istiqamah juga adalah dengan ikut banyak kelas agama, borak dengan keluarga mengenai tanggungjawab sebagai manusia. Kelas yang saya hadiri itu bukan setakat ajar untuk kekal bertudung, tetapi ajar saya mengenali diri yang sebenar.

“Apa jua kewajipan yang Allah tetapkan, kita kena paksa diri. Jangan tunggu masa sesuai, kita tak tahu bila kita akan mati. Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri tak berusaha,” tegasnya.

Related post

Leave a Reply