
“Masalah Rumah Tangga Dia, Saya Pula Jadi Mangsa”
Pelakon, Alya Iman, 24, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan dirinya sebagai orang ketiga dalam rumah tangga pelakon Yusuf Bahrin dan penyanyi Zizi Kirana.
Menurut Alya, dia langsung tidak terlibat dalam sebarang isu peribadi pasangan itu, malah terkejut namanya tiba-tiba terbabit hanya kerana kebetulan sedang bergandingan dengan Yusuf dalam sebuah drama.
“Saya betul-betul tak ada kena-mengena. Nama saya mula disebut semata-mata sebab drama Si Bakhil dan Bunganya tengah tayang di TV,” jelas Alya.
Tambahnya lagi, dia tidak tahu-menahu tentang sebarang masalah rumah tangga yang sedang dihadapi oleh Yusuf dan Zizi.
“Masalah rumah tangga dia, tiba-tiba saya pula yang jadi mangsa. Saya tak tahu apa-apa pun,” ungkapnya lagi.
Alya turut menjelaskan bahawa hubungannya dengan Yusuf ketika penggambaran hanyalah sebagai rakan sekerja biasa dan menegaskan tidak pernah menyimpan nombor telefon aktor tersebut.
“Saya memang profesional. Di set kami okey, macam adik-beradik. Tapi di luar set, saya memang tak pernah berhubung atau berkawan dengan dia.
“Kalau isu tu datang dari saya sendiri, contohnya pakai pakaian seksi, saya sedia hadap. Tapi kalau tuduhan tak berasas dan fitnah macam ni, saya memang tak mahu ambil pusing,” katanya tegas.