Yusof Haslam Nasihat Syamsul Cari Pasangan & Bina Hidup Baharu

Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, 71, menasihati anaknya iaitu pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof supaya tidak serik mendirikan rumah tangga biarpun sudah dua kali gagal dalam perkahwinan.

Percaya setiap manusia perlu hidup berpasangan, Yusof bagaimanapun menghormati keputusan anaknya itu yang mahu hidup solo buat sementara waktu dan ingin memberi fokus kepada dua naskhah yang dalam pembikinan.

“Tiada guna kalau cari duit banyak-banyak tapi hidup solo, seorang diri. Nanti pasti dia akan rasa bosan. Kita hidup di dunia haruslah berpasangan.

“Saya nasihat kepada Syamsul supaya bina kehidupan baharu, tapi dia kata nak hidup solo dahulu buat sementara waktu. Dia beritahu saya nak fokus dengan kerjaya dan siapkan lagi dua projek filemnya.

“Saya kata cari pasangan, hidup ini kalau tiada pasangan, tak ada makna. Paling penting dalam kehidupan ialah ketenangan dan bukannya kemewahan,” katanya yang ditemui di malam gala tayangan filem Blood Brothers.

Dalam pada itu, Yusof mengakui gembira melihat keadaan terkini Syamsul yang disifatkan semakin tenang dan bersemangat menjalani kehidupan.

“Alhamdulillah, nampak dia begitu fokus dan semangat dengan kerja, cuma berat badan dia saya lihat sedikit susut. Mungkin juga faktor tak cukup rehat.

“Saya sentiasa pesan pada Syamsul, apa pun yang berlaku kena kuat semangat,” tambahnya.

Sekadar info, Syamsul pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 namun berpisah pada 14 Jun 2023.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 6.

Syamsul juga pernah berkahwin dengan Ira Kazar pada 6 Januari 2023 di Thailand sebelum disahkan bercerai pada 5 September 2024.

Related post

Leave a Reply