Erma Fatima Terbuka Terima Teguran JAKIM

SETELAH mendapat teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), penerbit drama Bidaah, Erma Fatima akur dengan teguran yang dibuat dan sudah memotong dua babak yang menimbulkan kegelisahan ramai.

Jelas Erma, dia hanya mahu memberikan pengajaran terhadap mereka yang menunggang agama dan tiada langsung niat untuk mempersendakan agama seperti mana yang didakwa banyak pihak sebelum ini.

“Saya orang Islam, saya tidak akan berperang dengan Islam. Saya berperang dengan orang yang menunggang agama. Apa sahaja saya katakan sekarang mungkin menjadi bahan bualan orang atau dianggap cuba tegakkan benang yang basah namun saya boleh beritahu ia bukan karya sampah,” katanya.

Pengarah berkenaan memberikan maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM setelah mereka mengadakan pertemuan Jumaat lalu.

Selain Erma, yang turut menyertai pertemuan tersebut termasuklah wakil Viu yang merupakan platform penstriman yang bertanggungjawab menyiarkan drama Bidaah.

Jelas Erma pihaknya sudah memotong dua babak setelah video promosi yang dimuat naik mendapat kecaman banyak pihak sebelum ini.

“Sejak isu ini viral saya dah buang dahulu.Saya tahu akan babak tersebut dibuat dalam drama berkenaan. Orang seni mahu bermetafora. Mungkin teralpa dan terlupa dengan perkara tersebut,” jelasnya lagi.

Beberapa babak yang memaparkan pelakon Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein dengan menggunakan kaki tular sehingga membawa kepada teguran daripada beberapa orang pendakwah bebas.

Tidak cukup dengan itu, ada juga babak Fazlina Ahmad Daud minum air basuhan kaki dan mencium kaki Faizal turut menimbulkan keresahan banyak pihak.

Erma Fatima (kiri) sudah memotong dua babak Bidaah yang menimbulkan kegelisahan umum.

Terdahulu Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya melalui Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit Bidaah.

Beliau berkata, pihaknya juga meneliti kandungan drama berkenaan meliputi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod belum ditayangkan, untuk menilai kesan serta implikasi kandungannya.

“JAKIM telah membuat teguran dan memberi penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,”

“Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai antara cara untuk mengekspresikan keindahan dianugerahkan Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat.

“Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai serta etika,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bidaah diarahkan oleh Pali Yahya mula ditayangkan mulai 6 Mac dan naskhah yang berkisahkan pengikut jelmaan Imam Mahdi ini diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Related post

Leave a Reply