Wanita Belanja Makanan Pelajar Kejururawatan Di Kedai Serbaneka, Kisah Undang Sebak

Sekumpulan pelajar kejururawatan tersentuh hati selepas seorang wanita yang tidak dikenali menawarkan diri untuk membayar makanan mereka di sebuah kedai serbaneka di Kuala Lumpur.
Berkongsi pengalaman itu di Threads, pengguna @not4aestheticpurpose berkata mereka pada mulanya hanya masuk ke kedai berkenaan untuk membeli dua bungkus roti.
Pelajar itu kemudian ternampak minuman yogurt yang sedang dijual pada harga promosi, namun membatalkan hasrat untuk membelinya kerana baru sahaja membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi membeli barangan dapur sehari sebelumnya.
“Sebagai pelajar, sudah tentu kami perlu berjimat-cermat,” tulisnya.
Ketika mereka menuju ke kaunter pembayaran, seorang wanita yang sedang beratur menahan mereka dan bertanya sama ada mereka merupakan pelajar kejururawatan kerana mereka masih memakai uniform.
Pada mulanya, mereka menyangka wanita itu sekadar ingin bertanya.
Namun, wanita tersebut mengejutkan mereka apabila berkata: “Saya nak bayarkan makanan kamu,” kata wanita itu.
Pelajar-pelajar itu pada awalnya menolak tawaran tersebut kerana berasa segan, namun wanita berkenaan terus berkeras mahu membayarnya.
Selepas menyedari mereka hanya mengambil beberapa barangan, wanita berkenaan turut menggalakkan mereka memilih minuman.
Walaupun begitu, mereka tetap memilih minuman yang lebih murah kerana masih berasa malu untuk menerima kemurahan hati wanita tersebut.
Menurut pelajar itu, detik tersebut menjadi lebih bermakna kerana mereka sebenarnya baru sahaja memikirkan soal kewangan sebelum wanita itu menghampiri mereka.
Wanita berkenaan turut menjelaskan bahawa dia baru menerima keputusan pemeriksaan kesihatan yang baik dan ingin berkongsi rezeki dengan orang lain sebagai tanda kesyukuran.
Dia juga membeli ais krim untuk dirinya sendiri sambil bergurau bahawa dia kini boleh menikmati sesuatu yang manis kerana keputusan kesihatannya memuaskan.
Pelajar itu berkata ucapan terima kasih sahaja tidak cukup untuk membalas kebaikan tersebut dan mendoakan agar wanita berkenaan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang hayatnya.
Ketika artikel ini ditulis, hantaran di Threads itu telah meraih lebih 23,000 tontonan dan 800 tanda suka.
Di ruangan komen, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman serupa apabila pernah dibantu oleh individu yang tidak dikenali ketika bergelar pelajar. Ramai juga mendoakan agar wanita tersebut terus dimurahkan rezeki atas kebaikan yang ditunjukkannya.



