Pelajar Hilang Rupanya Terbang Ke Kemboja, Dakwa Mahu Lari Daripada Kehidupan Yang ‘Stress’

Seorang wanita warga Singapura berusia 20 tahun mencetuskan kembingan terhadap keluarganya selepas dia menaiki penerbangan ke Kemboja seorang diri tanpa pengetahuan mereka.
Bagaimanapun, wanita itu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat di negara tersebut dan menjelaskan bahawa dia meninggalkan rumah kerana tidak lagi gembira dengan kehidupannya yang disifatkan sebagai penuh tekanan.
Menurut Berita Mediacorp, Siti Aishah Siregar Sahat Siregar memberitahu ibunya bahawa dia menghadiri kelas seperti biasa di Nanyang Polytechnic (NYP) sekitar jam 11 pagi pada 28 Julai lalu.
Namun, apabila ibu bapanya datang menjemputnya pada jam 5 petang, mereka mendapati nombor telefonnya tidak lagi dapat dihubungi, manakala akaun WhatsApp miliknya juga tidak lagi aktif.
Setelah pulang ke rumah, Aishah juga didapati tiada di kediaman. Polis kemudian mengesahkan bahawa dia sudah tidak berada di Singapura.
Apabila keluarganya memeriksa e-mel Aishah, mereka menemui tempahan tiket penerbangan ke Kemboja, sekali gus mempercayai dia telah berlepas ke Phnom Penh. Susulan itu, keluarga Aishah mendapatkan bantuan pihak berkuasa di Singapura dan Kemboja bagi mengesan keberadaannya.
Nasib baik, Aishah berjaya ditemui oleh pihak berkuasa Kemboja di sebuah kondominium sebelum dia menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.
Menurut The Khmer Times, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Kemboja, Touch Sokhak, berkata menerusi saluran Telegram miliknya bahawa Aishah datang ke Kemboja dalam keadaan mengalami tekanan emosi dan sengaja mematikan telefon bimbitnya supaya tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarganya.
Aishah turut memaklumkan dia telah menguruskan sendiri tempat penginapannya melalui seorang ejen hartanah di Kemboja sebelum tiba di negara itu, dan disambut di lapangan terbang oleh seorang rakan tempatan yang dikenalinya melalui permainan video dalam talian.
Bagaimanapun, selepas tiba di Kemboja, dia mula berasa ragu-ragu dengan keputusannya lalu menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk memaklumkan bahawa dirinya telah dilaporkan hilang.
Aishah turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia ditahan secara salah atau menjadi mangsa penculikan.
Selepas itu, Aishah memuat naik satu rakaman video bagi menjelaskan kehilangan dirinya dan menghapuskan sebarang keraguan mengenai insiden tersebut.
Dalam video itu, dia berkata kehidupan di Singapura terlalu memberi tekanan dan dia ingin mencari haluan hidupnya sendiri.
“Sebab itulah pada 20 Julai saya membuat keputusan untuk pergi sendiri ke Kemboja bagi bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.
“Saya tidak dipaksa datang ke sini. Saya juga tidak ditipu untuk datang ke sini. Semua ini adalah keputusan saya sendiri berdasarkan kebimbangan dan pertimbangan saya,” katanya.
Aishah turut menegaskan bahawa dia tidak pernah terlibat atau dipaksa menyertai sebarang aktiviti penipuan mahupun kegiatan jenayah lain.



